SERDANG - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz kelihatan tersentuh dengan tayangan memoir ayahandanya hingga terpaksa menangguh giliran pidatonya pada Multaqa Ulama Semalaysia II, hari ini.

Tayangan multimedia hampir lima minit itu dipertontonkan kepada semua perwakilan Dewan Ulama Pas yang hadir untuk mengimbas kembali pesanan dan kenangan bekas Mursyidul Am Pas itu ketika hayatnya.

Sementara memberi peluang kepada Nik Mohamad Abduh menenangkan diri, pengerusi majlis meminta veteran Pas, Abdullah Husin untuk meneruskan pembentangan keempat yang bertajuk "Fiqh Siyasi Dalam Sirah Nabawiyyah".

Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghembuskan nafas terakhir pada 12 Februari lalu, di rumahnya di Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.