Sinar Harian
KUALA LUMPUR - BN disaran untuk tidak meletakkan calon di Parlimen
Permatang Pauh sekiranya parti itu konsisten dalam pendiriannya yang
menyuarakan untuk tidak bertanding di Dun Chempaka selepas kematian
penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Khamis lalu.
Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, BN perlu
memikirkan isu-isu yang timbul seperti kos dan rakyat memandangkan
negara baharu saja selesai melaksanakan pilihan raya umum.
“Kalau pendirian mereka (BN) konsisten...katalah bukan kerana masalah
yang berlaku di Kelantan seperti banjir tapi akan timbul isu-isu seperti
perbelanjaan yang besar, menyusahkan rakyat sebab kita baru saja
selesai pilihan raya umum dan macam-macam lagi hujah-hujah seperti yang
berlaku semasa pilihan raya di Kajang.
“Jadi, kalau berasa bahawa tidak perlu bertanding di Dun Chempaka, saya
rasa mereka harus juga memikirkan tentang pilihan raya di Permatang
Pauh. Seperti mana mereka (BN) berfikir di Bukit Gelugor,” katanya pada
sidang media, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed
mencadangkan supaya BN tidak meletakkan calon di Dun Chempaka dan lebih
fokus terhadap bantuan pacsa banjir terhadap mangsa-mangsa yang
kehilangan kediaman serta harta benda dalam bencana, Disember lalu.
Mengulas lanjut, Dr Hatta menegaskan, beliau yakin sekiranya berlaku
pilihan raya, parti itu tetap akan mengulang kembali kejayaan beberapa
tahun yang dilakar Nik Aziz.
“Kita di dalam Pas, bersedia menghadapi pilihan raya ini dan kita
berkeyakinan di Dun Chempaka itu, rakyat memang...memang pun sudah
berada di bawah Tok Guru Nik Aziz sekian lama, mereka tidak akan lupakan
jasa-jasanya.
“Insya-ALLAH kita boleh mengulangi kejayaan seperti dalam pilihan raya
yang lalu dan mungkin lebih baik lagi. Saya berkeyakinan di Permatang
Pauh pun kita sudah bersedia. Kita menanti pengumuman,” katanya.
No comments:
Post a Comment