Sinar Harian
- Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitannya meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Istana Kehakiman di Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Laluan perundangan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu
berhubung hukuman penjara lima tahun terhadap kes meliwat bekas
pembantu peribadinya telah sampai ke penghujung dengan pilihan
terakhirnya ialah memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong,
kata pakar undang-undang.
Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa
Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Ahmad Marthada Mohamed berkata,
ini kerana Mahkamah Persekutuan merupakan badan perundangan tertinggi di
negara ini dan apa jua keputusan yang dijatuhkannya tidak dapat dirayu.
Beliau berkata Anwar hanya boleh dilepaskan daripada hukuman penjara jika mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
"Perkara ini tertakluk di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan
yang menyebut pengampunan boleh diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong,"
katanya kepada Bernama.
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Anwar untuk mengenepikan
sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan
pada 7 Mac tahun lepas terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari
Azlan, yang ketika itu berumur 23 tahun, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa
Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10
petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai lima anggota
panel hakim, menyampaikan penghakiman itu dan mengekalkan hukuman
penjara lima tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan.
Ahmad Marthada berkata Lembaga Pengampunan dianggotai oleh Menteri
Wilayah Persekutuan, Peguam Negara dan tiga ahli yang dilantik, dan
dipengerusikan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong.
Pengampunan untuk pembebasan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk seseorang
pesalah biasanya dibuat pada hari keputeraan Seri Paduka selepas pihak
kerajaan mencadangkan kepada baginda untuk berbuat demikian.
Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, Pensyarah Geostrategis
Universiti Teknologi Malaysia, Dr Azmi Hassan berkata ia satu
manifestasi bahawa semua rakyat adalah sama rata di bawah undang-undang.
"Ia adalah adil tidak kira kepada rakyat biasa atau yang mempunyai kedudukan," katanya.
Katanya, proses penghakiman juga mengesahkan bahawa mahkamah membuat
keputusan atas dasar fakta yang dihujah dan bukannya kerana pengaruh
luar misalnya seperti politik tempatan.
Penganalisis Politik, Dr Baharuddin Aziz keputusan tersebut merupakan
satu keadilan kepada mangsa iaitu Mohd Saiful Bukhari yang selama ini
berdepan tekanan hebat daripada masyarakat dan tohmahan pembangkang ke
atas beliau.
"Ini soal maruah diri, tiada insan yang mahu mendedahkan keburukan yang
terjadi kepada dirinya terutama yang berkaitan dengan kehormatan
dirinya,
"Tambahan pula dia merupakan rakyat biasa yang tidak punya sebarang
pengaruh dan terpaksa berjuang selama tujuh tahun untuk membuktikan
dirinya di pihak yang benar," kata bekas pensyarah kanan Jabatan
Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment