Monday, February 9, 2015

Phahrolrazi nafi Pasma jadi dalang

Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi  
  • Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi
ALOR SETAR - [KEMASKINI] Mengaitkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) dengan gerakan pihak tertentu konon mahu menjatuhkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas bukan perkara baharu.
Malah Presiden Pasma, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi sudah lali dengan tuduhan itu, dan menganggapnya sebagai isu yang sengaja diperbesarkan untuk menarik perhatian umum menjelang pemilihan parti yang dijangka pada penghujung tahun ini.

“Tuduhan itu bukan baharu, sudah berulang kali dikaitkan Pasma dengan gerakan mahu jatuhkan Hadi. Sebelum ini, Pasma sudah perjelaskan tidak pernah terlibat dengan mana-mana gerakan seperti didakwa,” katanya, ketika dihubungi Sinar Harian.
Semalam, Pasma sekali lagi dikaitkan dengan gerakan mahu menjatuhkan Abdul Hadi apabila sekumpulan  penyokong Presiden Pas berkumpul di pejabat agung parti itu di Kuala Lumpur menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat bagi menunjukkan sokongan kepada Abdul Hadi yang kononnya menghadapi satu komplot untuk menjatuhkannya yang dikaitkan dengan Presiden Pasma.
Bantahan diketuai Ketua Pemuda Pas Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim yang turut menyerahkan memorandum dan apa yang didakwa sebagai bukti sabotaj oleh pihak yang dikatakan menjadi dalang gerakan menjatuhkan Abdul Hadi.

Mengulas perkara itu, Phahrolrazi berkata, ia merupakan masalah dalaman parti itu dan sekiranya terdapat bukti yang mengukuhkan dakwaan mereka, kepimpinan pusat wajar melakukan siasatan jika menganggap perkara itu serius.

“Pimpinan pusat boleh lakukan siasatan dalaman berikutan ada aduan. Namun terpulang pada mereka. Jika tidak ambil tindakan (siasat), wajar ambil tindakan terhadap pihak yang mendakwa wujud konspirasi atas cubaan memecah-belahkan perpaduan parti,” katanya.

Beliau turut menafikan penglibatan beberapa pemimpin kanan Pas dengan Pasma.

“Sebelum arahan dikeluarkan tidak membenarkan ahli Pas sertai Pasma, memang ada jemput mereka menjayakan program Pasma, selepas itu tidak lagi,” katanya.

Ditanya desakan beberapa pihak yang mahu beliau melepaskan jawatan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kedah berikutan kedudukannya sebagai pengasas dan Presiden Pasma, Phahrolrazi menyerahkan kedudukannya kepada perwakilan sama ada mahu terus memilih beliau atau sebaliknya, pada pemilihan Pas kawasan 20 Mac.

“Ahli atau perwakilan di kawasan yang pilih saya sebagai Yang Dipertua, mereka bagi sokongan dan saya dipilih. Jadi kena tunggu pemilihan ini,” katanya, yang menyandang jawatan itu sejak 2003.

Mengulas sama ada memilih Pas atau Pasma jika diberi pilihan, Phahrolrazi sebaliknya bertegas tidak timbul masalah untuk beliau memikul dua tanggungjawab sekali gus, kerana peranan antara parti dan NGO itu tidak bertindih.

No comments:

Post a Comment