Siew Keong (kiri) merasmikan bangunan baharu pejabat Gerakan Kedah sambil diiringi Soon Hai (dua, kiri). 
  •  Siew Keong (kiri) merasmikan bangunan baharu pejabat Gerakan Kedah sambil diiringi Soon Hai (dua, kiri).
ALOR SETAR - PR perlu menetapkan pendirian berhubung dua isu yang berbangkit iaitu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan hudud dalam mesyuarat majlis pimpinannya di Kuala Lumpur, hari ini.
Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berkata, kebanyakan isu yang timbul antara parti dalam PR gagal ditangani dengan baik apabila masing-masing saling tidak bersetuju.

Menurutnya, mereka hanya bersama (sepakat) apabila mahu mendapatkan undi dari rakyat.

“Bayangkan bagaimana mereka mahu mentadbir Kerajaan Pusat sedangkan isu mudah seperti pilihan raya PBT tidak dapat diselesaikan kerana pemimpin dari dua parti saling menyalahkan satu sama lain.

“Mereka mahu mempertahankan keputusan masing-masing iaitu pilihan raya PBT di Pulau Pinang dan hudud di Kelantan. Bagaimana boleh kata Pulau Pinang lain, Kelantan lain kerana masih dalam satu negara,” katanya kepada media selepas merasmikan bangunan baru ibu pejabat Gerakan Kedah di Mergong, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Gerakan Kedah, Datuk Dr Cheah Soon Hai.

Siew Keong berkata, PR masih gagal menyelesaikan banyak isu dan perlu berbincang demi kebaikan rakyat.

“Kita harap mesyuarat itu akan menetapkan satu pendirian yang akhirnya boleh menyelesaikan masalah yang timbul. Bukannya ada yang setuju dan ada tidak setuju,” katanya.

Sementara itu, Siew Keong berkata, Gerakan akan mengenalpasti calon PRU mewakili parti itu dengan lebih awal bagi menyelesaikan sebarang masalah dalaman yang wujud.

Menurutnya, pengalaman lalu pada PRU 2013 memberi banyak pengajaran untuk mengatur strategi lebih baik kerana mungkin disebabkan berlaku beberapa kesilapan menyebabkan mereka kehilangan beberapa kerusi.

“Kita akui (tentukan calon lebih awal) sangat mencabar kerana bukan seorang sahaja berbakat, mahu pilih pun bukan senang. Memang ada yang tidak setuju dengan cara ini tetapi kita mahu cuba bagi peluang kepada seseorang calon itu mula buat kerja mereka.

“Pemilihan calon juga bukan dilihat kepada individu itu sahaja tetapi gerak kerja berpasukan dan analisis prestasi akan sentiasa dipantau untuk memastikan mereka konsisten dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya.

Siew Keong berkata, langkah itu diyakini dapat mengurangkan masalah dalaman parti yang mungkin berbangkit kerana calon mula bekerja sejak dari awal.

“Masalah selalunya berlaku apabila segelintir penyokong mengharapkan calon pilihan mereka diangkat sebagai calon namun, keadaan berlaku sebaliknya apabila calon lain yang dipilih menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dan mula lakukan pelbagai cara termasuk sabotaj parti,” katanya.