• 'Saya terima apa saja keadaan abang'
KUALA TERENGGANU – “Pulanglah, saya terima apa sahaja keadaan abang…,” itu luahan seorang isteri tujuh anak yang merayu suaminya pulang ke pangkuan keluarga.

Sharifah Abu Bakar, 47, berkata, suaminya seorang pemandu, Mohd Yadi Taib, 47, menghilangkan diri sejak lebih setahun lalu, diharap segera pulang ke rumah sewa mereka di Kampung Losong Panglima Perang, memandangkan anak-anak masih kecil.

Lebih memilukan, anak bongsu mereka, Muhammad Adham yang kini berusia 11 bulan sejak lahir belum menatap wajah ayah kandungnya.

“Ketika dia menghilangkan diri, saya sedang sarat mengandungkan anak bongsu kami. Masa itu kandungan saya berusia lima bulan dan dia hilang tanpa berita sehingga sekarang, kami tidak tahu macam mana keadaannya.

“Pulanglah, saya terima apa sahaja keadaannya, kesian anak-anak yang masih kecil dan memerlukan kasih sayang seorang ayah terutama anak bongsu, sampai sekarang belum kenal ayahnya,” cerita Sharifah kepada Sinar Harian.

Menceritakan detik hitam dalam hidupnya pada 23 November 2013, Syarifah berkata, pada sebelah petang dia menerima panggilan daripada suaminya, memaklumkan akan pulang lewat pada hari tersebut.

“Namun sampai keesokannya, dia (suami) masih tidak pulang sehinggakan majikannya menelefon saya untuk bertanyakan suami, saya agak terkejut ketika itu apabila diberitahu suami tidak datang kerja. Saya ingatkan dia tidur di tempat majikannya kerana kadang-kadang dia tidak pulang dan tidur di sana.

“Saya dan majikannya ada berusaha mencari dia di merata tempat selain membuat laporan polis serta bertanya sanak saudara dan juga rakan-rakannya, tetapi mereka pun tidak tahu,” jelasnya.

Sehinggalah satu hari, majikannya melakukan pemeriksaan di Jabatan Imigresen dan dimaklumkan, suaminya ada ke Surabaya, Indonesia selang beberapa hari selepas kehilangannya. Walaupun begitu, dia tidak pernah berhenti ikhtiar mencari suaminya.

Sejak suaminya hilang, Sharifah berkata, sering menerima panggilan daripada seseorang pada sebelah malam sekitar jam 12 hingga 1 pagi dengan menggunakan nombor pendaftaran Indonesia.

“Saya syak itu suami saya, tetapi apabila dijawab, dia langsung tidak bercakap. Hanya saya sahaja yang bersuara. Jika dia ada masalah beritahu saya, mungkin saya boleh ikhtiar, ini tidak, dia tidak bercakap langsung.

“Kadang-kadang seminggu tiga kali saya menerima panggilan itu, tetapi seperti biasa, apabila dijawab tetap tidak bercakap. Dua bulan kebelakangan ini saya tidak lagi menerima panggilan itu dan bimbang dengan keadaannya,” katanya.

Walaupun perit untuk dia menghadapi dugaan itu dan terpaksa menjual kuih demi menyara tujuh anaknya berusia 18 tahun hingga 11 bulan, namun kasih sayangnya pada suami yang dianggap seorang yang penyayang itu masih menebal dan diharap dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan segera.