PADA
hari inilah dalam tahun 1303 telah tercatat satu tarikh pada batu
bersurat yang ditemui di Kuala Berang, Terengganu. Satu kenyataan yang
tidak harus kita lupa Islam telah menjadi sistem yang berdaulat di bumi
Malaysia 97 tahun sebelum pembukaan Kota Melaka oleh Parameswara.
Sejarah membuktikan sistem dan kedaulatan Islam yang telah sekian
lama bertapak di bumi ini dihapuskan oleh penjajahan sedikit demi
sedikit dengan cukup terancang dan sistematik. Bermula dengan penaklukan
Portugis di Melaka pada 1511, Belanda pada 1641, seterusnya campur
tangan Inggeris pada 1786 menyempurnakan permulaan tindakan menyahkan
Islam dari system kenegaraan bumi Malaysia.
Inggeris yang datang menguasai bumi ini dengan permulaan Perjanjian
Pangkor tidak sekaligus menyahkan Islam dari takhta kedaulatan. Sedikit
demi sedikit dan secara halus usaha dirancang dan dilaksanakan agar
dapat diterima oleh masyarakat Islam.
Sultan yang dahulunya memegang kuasa politik dan pemerintahan disogok
dengan keamanan dan damai atas takhta tanpa diganggu gugat dengan
syarat baginda hanya berkuasa kepada hal-ehwal Islam dalam negeri. Apa
maknanya hal-ehwal Islam di mata Inggeris pada waktu itu?
Islam hanya mula dijadikan upacara rasmi kerajaan dengan Inggeris
terus memelihara tulisan jawi sebagai pengantara utama. 1830 telah mula
diperkenal Undang-undang Sivil di negeri-negeri selat yang kemduiannya
dipaksa untuk diterima oleh negeri-negeri bersekutu pada 1937.
Urusniaga perdagangan mula dihalakan menurut cara mereka dan tidak
lagi cara syariah. Pada masa yang sama telah mula diperkenal jabatan
yang menjaga hal-ehwal Islam dengan harapan orang Islam merasa bangga
betapa Islam ada jabatan yang menjaganya.
Islam kian diinstitusikan menurut cara pemerintah. Islam tidak lagi
berada pada tahap menguasai pemerintahan sebagaimana sistem kesultanan
awal sebelum penjajahan.
Itu hanya sebahagian kecil teknik dan taktik penjajah dalam usaha
mereka mensekularkan Malaysia yang dulu dipanggil Tanah Melayu. Kini
sistem sekular dalam perundangan telah kejap dan jitu berada pada tampuk
penguatkuasaan.
Selaku umat Islam, tentunya amat malang bila kita hanya mengenang
nostalgia batu bersurat Terengganu tanpa dituruti usaha yang bermatian
agar Islam kembali berdaulat. Cukup terasa sayu bila mengenangkan
cita-cita umat Islam ini di tengah-tengah gelora yang melanda badan
siasah memperjuangkan Islam di Malaysia, Parti Islam Se-Malaysia, PAS.
Cukup saya akui mana bumi yang tidak ditimpa hujan, mana laut yang
tidak bergelora, mana pantai yang tidak dihempas badai. Tidak harus kita
lupa juga bersama-sama kita ada Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias untuk
dituruti sebagai panduan.
Kenapa kita mudah goyah dengan hujan, gelora dan badai kerana itu
semua sunnah yang telah ditentukan Allah S.W.T? hujan yang mebasahi
bumi, gelora menggila di lautan dan badai ombak di pantai pasti berhenti
bila tiba masanya. Demikian juga setiap perselisihan dan pertikaian
telah disediakan ubat penawarnya dalam kitab Allah dan tinggalan Rasul
Allah S.A.W.
Terkadang saya tertanya sendiri apakah sukar bagi kita pendukung
jalan jihad ini untuk kembali bersemuka kerana Allah? Merapatkan
persaudaraan dan mengatur gerak bersama demi mendaulatkan Islam yang
telah lama dinyah penjajahan?
Rasul Allah S.A.W. telah cukup mengajar kita dalam perjuangan besar
ini. Tarbiah, dakwah dan kebajikan dirangkum bersama agar serasi untuk
menaut hati-hati manusia yang diciptakan Allah Tuhan yang satu. Kenapa
kita terlalu degil menerima hakikat bahawa perjuangan ini mendambakan
kebersamaan gerak kerja dalam setiap langkahan?
Meletakkan Islam agar kembali berdaulat bukan sekadar retorik untuk
diulang dari zaman ke zaman. Ia adalah satu tanggungjawab besar yang
wajip dipikul di bawah satu kepimpinan. Kesempurnaan Islam pada hari ini
bukan menunggu tahap demi tahap untuk dilaksanakan. Ia mesti digempur
dari segenap sudut dan ruang di medan sebenar.
PAS sebenarnya telah punyai kekuatan untuk menguasai medan jika
ketaatan difokuskan hanya pada satu arahan dan kepimpinan. Kita telah
punyai tokoh ulama yang ramai dan tenaga profesional yang cukup bersedia
mendokong cita-cita jihad ini. Hanya sikap enggan sahajalah yang akan
terus menggagalkan usaha ini dengan keangkuhan keakuan yang ada pada
setiap dari kita.
Tingkah laku kita hari ini hanya akan mengekalkan tinggalan penjajah
tanpa mengubah sistem sekular dan negara. Kembalilah kepada Allah dan
beristiqamahlah dengan ajaran tinggalan Rasulullah S.A.W agar
pertolongan Allah akan bersama mengiringi perjuangan getir ini. - HARAKAHDAILY 22/2/2015
No comments:
Post a Comment