KUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram)
mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada isteri serta keluarga
Almarhum Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat atas
pemergian suami dan ayahanda tercinta ke rahmatullah pada malam tadi.
"Ikram juga mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada Presiden,
pimpinan dan ahli-ahli PAS atas kehilangan Mursyidul Am PAS yang telah
banyak berjasa," ujar Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam
kenyaaan kepada Harakahdaily.
Menurutnya, negara dan umat kehilangan seorang ulama besar dan
pemimpin politik yang telah banyak memainkan peranan bagi membangunkan
Islam serta politik yang matang di negara ini.
Katanya, ketabahan Tuan Guru melalui pelbagai zaman sepanjang sejarah
hidupnya telah membuktikan bahawa almarhum seorang yang istiqamah dalam
perjuangan bagi menegakkan Islam, kebenaran dan keadilan.
Beliau berkata, ketabahan Tuan Guru melalui pelbagai ujian sepanjang
memerintah negeri Kelantan selama lebih dua puluh tahun menginsafkan
kita tentang kecekalan seorang Menteri Besar dalam mengharungi pelbagai
fitnah dan ujian.
"Semoga Allah Subhanahu wa Taala merahmati rohnya dan menempatkannya bersama para syuhada' dan solehin.
"Saya sendiri, bersama-sama pimpinan Ikram Kelantan, akan mewakili
Ikram bagi menghadiri solat jenazah dan majlis pengkebumian di Kelantan
pada pagi ini, insya Allah," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 13/2/2015
No comments:
Post a Comment