Thursday, March 26, 2015

BNM tegur bank tempatan lulus pinjaman 1MDB

  .

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan enggan menjawab status audit Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap pinjaman yang diberikan oleh bank tempatan iaitu Maybank, RHB dan Ambank kepada 1MDB.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dalam pertanyaan lisannya di Dewan Rakyat semalam meminta Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan setiap hutang 1MDB dengan bank-bank tempatan sehingga januari 2015 dan bagi tujuan tersebut, nyatakan keputusan audit tahunan terkini yang dibuat oleh BNM berkenaan setiap hutang tersebut.

Namun menjawab pertanyaan itu Menteri Kewangan hanya menjelaskan bahawa sehingga Januari 2015, jumlah hutang 1MDB dengan bank-bank tempatan sebanyak RM5.037 bilion.
Rafizi berkata, jawapan Menteri Kewangan itu sekaligus mengesahkan bahawa dakwaan dan maklumat yang diperoleh ada kebenarannya.

"Jika audit BNM tidak menimbulkan apa-apa teguran atau kelemahan dalam proses kelulusan pinjaman oleh 1MDB, sudah tentu Menteri Kewangan tidak teragak-agak untuk mendedahkan keputusan audit itu,"soal Rafizi dalam kenyataannya.

Jelas Rafizi, apabila jawapan menteri kepada soalan parlimen mengelak sepenuhnya dari satu soalan yang khusus sebegini, beliau beranggapan ia adalah pengesahan bahawa BNM memang menegur Ambank mengenai proses kelulusan pinjaman kepada 1MDB seperti yang didakwa sebelum ini.

"Ia juga mengiyakan bahawa ada kebenaran kepada dakwaan saya sebelum ini bahawa pertukaran pengurusan tertinggi Ambank baru-baru ini ada kena mengena dengan isu pinjaman yang diberikan oleh Ambank kepada 1MDB.
"Saya diberikan maklumat bahawa BNM menimbulkan beberapa perkara yang serius menegur proses kelulusan pinjaman oleh Ambank kepada 1MDB,"jelasnya.

Isu ini sangat penting katanya, bukan kerana jumlah pinjaman yang diberikan kepada 1MDB tetapi risiko kepada sistem perbankan akibat reputasi dan kredibiliti yang merudum sekiranya dakwaan bahawa proses pemberian pinjaman oleh Ambank itu ditegur oleh audit BNM adalah benar. - HARAKAHDAILY 26/3/2015

No comments:

Post a Comment