Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail 
  •  Wan Azizah Wan Ismail
KAJANG - Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail terus mempertahankan tindakannya sekeluarga yang mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong dengan menggunakan sepenuhnya ruang dalam Perlembagaan.

Beliau berkata, usaha itu bagaimanapun tidak bermaksud Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah dalam sabitan kes liwat II sebaliknya menyifatkannya sebagai berlaku pengguguran keadilan.

"Ruang yang boleh kita gunakan untuk mendapatkan pengampunan, bukan kerana Anwar bersalah, pengampunan itu kerana 'miscarriage of justice' iaitu satu penguguran keadilan.

"Sebab itu kita guna ruang dalam Perlembagaan kita, kita mohon pengampunan daripada Agong sebagai payung negara," katanya dalam ceramah March to Freedom di pekarangan Pusat Khidmat Dun Kajang, di sini, semalam.

Pada 24 Februari lepas, Wan Azizah serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, menyerahkan petisyen pengampunan kepada YDPA berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar dalam kes liwat II.

Anwar kini dipenjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan mendapati beliau bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Dalam pada itu, Wan Azizah turut berkata mana-mana warganegara Malaysia layak mendapat keadilan yang sama dengan mendapat pengampunan itu daripada YDPA.

"Bukan saya seorang tapi mana-mana warganegara Malaysia boleh mendapatkan pengampunan, sebenarnya hal ini pernah terjadi kepada Datuk Harun Idrus, Datuk Mokhtar Hashim dan Lim Kit Siang

"Sesiapa yang diperlakukan dengan keguguran keadilan sepertinya boleh mendapat pengadilan," katanya lagi.