Tuesday, March 31, 2015

Hadi: Yang Islam sokong, bukan Islam beri laluan

30 Mar 2015
PAS berharap anggota Parlimen beragama Islam tanpa mengira parti politik menyokong rang undang-undang persendirian bagi membuka laluan kepada pelaksanaan hudud di Kelantan.

Pada masa yang sama parti itu juga menggesa anggota Parlimen bukan Islam “memberi laluan” supaya hudud dapat menjadi kenyataan kerana tiada ia tiada kena mengena dengan mereka.

"Ini adalah hak orang Islam. Tidak ada kena mengena dengan bukan Islam.

"(Diharap) mereka memberi laluan melalui semangat persekutuan, Islam agama Persekutuan dan agama lain bebas diamalkan," kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Penolong Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata rang undang-undang persendirian itu untuk meminda Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah berkaitan bidang kuasa mahkamah syariah berkaitan hal menjatuhkan hukuman.

Katanya, ketika ini hukuman bagi Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah hanya terhadap kepada hukuman tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

"Rang undang undang persendirian ini mahu supaya bidang kuasa jenayah syariah satu Malaysia termasuk Kelantan dinaikkan.

"Ini hanya memerlukan majoriti mudah dalam Dewan (Rakyat)," katanya sambil menambah ia dijangka akan dibaca buat kali pertama pada sesi parlimen kali ini.

Sementara itu, mengulas itu peletakan jawatan 17 anggota jawatankuasa PAS Batu yang kecewa dengan kepimpinan Hadi, Mustafa berkata ada di kalangan mereka yang sebenarnya mengambil keputusan drastik itu.

"Dia tidak tandatangan tapi nama dia dimasukkan. Dia menafikan letak jawatan," katanya. 
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment