• Khairuddin Abu Hassan Khairuddin Abu Hassan
1 / 1
SHAH ALAM – Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa Umno tidak mengikuti garis panduan dan perlembagaan parti apabila melucutkan jawatannya.

Khairuddin berkata, beliau tidak pernah dipanggil oleh Umno untuk menjelaskan kedudukan sebenar kesnya yang sedang dalam proses untuk diselesaikan.

Beliau merujuk kepada kes dirinya diisytiharkan bankrap oleh Mahkamah Tinggi, Pulau Pinang pada 14 Mei 2014 berikutan satu petisyen yang dikemukakan sebuah syarikat dikenali sebagai Artisan Fokus Sdn Bhd.

“Saya tidak terkejut langsung dengan berita jawatan dilucutkan oleh Umno disebabkan kes jaminan korporat. Hakikatnya (kes itu) sedang dalam fasa penyelesaian oleh peguam peribadi saya kerana syarikat tersebut telah mula melangsaikan hutang itu.

“Namun, saya hairan dengan sikap Umno yang tidak pernah memanggil saya untuk memberi penjelasan kedudukan sebenar kes tersebut. Umno sebenarnya kena menulis surat tunjuk sebab dan memanggil saya untuk memberi penjelasan terperinci kedudukan terkini saya,” katanya.

Mengikut Perlembagaan Umno, ahli parti itu hilang kelayakan memegang sebarang jawatan sehingga statusnya sebagai orang bankrap diputuskan mahkamah.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam laporan media semalam berkata, Khairuddin masih ahli umno dan hanya hilang jawatan dipegangnya kerana diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi.

Tengku Adnan berkata, surat makluman kepada Khairuddin telah dihantar oleh Umno beberapa bulan lalu ketika beliau disahkan muflis.

Nama Khairuddin sebelum ini menjadi sebutan apabila beliau membuat laporan polis  terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam pada itu, Kharuddin turut menegaskan beliau tidak berkecil hati dengan tindakan Umno tersebut.

“Saya berikrar terus berjuang tanpa jawatan untuk menegakkan kebenaran serta melawan rasuah secara habis-habisan.  Saya seorang yang amat kental dalam perjuangan atas nama kepentingan rakyat.

“Saya tidak akan berganjak dari landasan ini walaupun terpaksa menempuhi pelbagai tekanan politik,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, Khairuddin  masih kekal sebagai ahli Umno walaupun dilucutkan jawatan sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan kelmarin.

Beliau berkata, tidak menjadi sebarang masalah untuk Khairuddin menghadiri persidangan tahunan Umno di peringkat cawangan yang dianggotainya.