
KUALA LUMPUR: PAS Pahang menyokong cadangan Majlis
Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) membuat semakan semula
undang-undang syariah berkaitan murtad sebagaimana yang dilaporkan dalam
akhbar Sinar Harian, semalam.
Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mutakhir
ini pelbagai isu berkaitan murtad berlaku sehingga boleh menimbulkan
polemik antara keluarga saudara baru dan pihak Jabatan Agama khususnya.
"Polemik ini dilihat berpunca dari pelbagai perkara yang melibatkan
aspek perundangan dan boleh mencetuskan polemik antara agama," ujarnya
dalam satu kenyataan.
Menurutnya, antara elemen penambahbaikan yang boleh dibuat ialah
perisytiharan rasmi kepada pihak keluarga bilamana seseorang telah
memeluk Islam.
"Dengan perisytiharan ini, pelbagai isu perlu diselesaikan seperti
hak penjagaan anak, pembahagian harta, implikasi hubungan suami isteri,
dan lain-lain yang melibatkan agama dapat dijelaskan," katanya lagi.
Di samping itu, ata beliau PAS Pahang menyarankan agar sebuah pusat
bimbingan dan transit bagi saudara baru dapat diwujudkan di Pahang bagi
memastikan saudara baru dapat dibimbing amalan dan penghayatan agama dan
kerjaya setelah memeluk Islam.
Beliau berkata, dana zakat dan Baitulmal dapat dimanfaatkan bagi tujuan itu.
Sekadar maklumat, katanya di Pantai Timur hanya sebuah pusat
bimbingan saudara baru yang beroperasi secara profesional di bawah
Perkim, iaitu di Pengkalan Chepa, Kelantan.
"Keadaan ini tentulah tidak mencukupi," ujarnya yang juga Naib Presiden PAS.
Di samping itu, tambah beliau Pusat Bimbingan dan Kaunseling Khas
bagi saudara baru juga akan dapat membantu mengatasi gejala murtad di
kalangan saudara baru.
Beliau menambah, pelbagai tekanan, desakan dan kadangkala ada ugutan
yang diterima oleh saudara baru memerlukan tindakan segera agar gejala
murtad di kalangan saudara baru dapat diatasi serta kerjaya masa
depannya dapat diwujudkan. - HARAKAHDAILY 13/3/2015
No comments:
Post a Comment