Tuesday, March 31, 2015

PAS kecam penahanan pengamal media

  .
 
KUALA LUMPUR: PAS mengecam tindakan pihak polis yang menahan tiga pengarang kanan portal berita The Malaysian Insider (TMI) petang semalam.

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berkata, penahanan pengamal media adalah tidak wajar kerana terdapat kaedah lain yang boleh dilakukan untuk mereka memperbaiki laporan jika didapati tidak benar.
"Media hanya melaporkan apa yang dirasakan perlu dan itu untuk pengetahuan rakyat.
"Menggunakan kekerasan adalah tidak wajar, media boleh diberi notis teguran untuk menarik balik laporan atau juga tindakan sama, jika menggunakan kuasa penahanan mereka ia bertentangan dengan kebebasan yang kita ada," katanya ketika ditemui Harakahdaily di lobi Parlimen hari ini.

Menurut beliau lagi, tindakan menahan pemgamal media merupakan satu usaha untuk menutup ruang bersuara dan demokrasi.
"Media alternatif adalah satu ruang untuk kita melaporkan berita-berita yang betul, pihak yang dilaporkan itu harus tampil membuat penjelasan.
"Bukannya cara menahan mereka sebagai usaha menghalang laporan tersebut, penahanan ini dilihat sebagai cara untuk menakutkan pengamal media.
"Kerajaan perlu lebih profesional dalam kebebasan bersuara dan bukan mengambil jalan mudah dengan menutup ruang demokrasi," sambung beliau lagi.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, lebih 12 pegawai Polis dan SKMM menyerbu pejabat TMI di Petaling Jaya dan menahan tiga Pengarang Kanan serta merampas telefon bimbit dan komputer riba.
Lionel Morais, Zulkifli Sulong dan Amin Shah Iskandar ditahan atas dakwaan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Sekysen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Hari ini pula, penerbit dan CEO kumpulan The Edge Media Group yang memiliki kepentingan dalam TMI, Ho Kay Tat dan ketua pegawai eksekutif portal tersebut, Jahabar Sadiq pula ditahan.
Kedua-duanya ditahan mengikut Akta Hasutan sebaik tiba ke ibu pejabat polis Dang Wang pagi tadi.
Mereka pada awalnya tiba untuk memberi keterangan di balai tersebut susulan penahanan tiga pengarang kanan semalam.

Hanipa yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut mempertikai tindakan terpilih apabila media atau pimpinan yang menyokong kerajaan dan telah mengeluarkan kenyataan berbentuk hasutan tidak dikenakan tindakan, sebaliknya media alternatif mahupun pembangkang terus diambil tindakan segera. - HARAKAHDAILY 31/3/2015

No comments:

Post a Comment