Friday, April 17, 2015

Ada restoran, hotel tiada caj servis boleh 'hidup'


Datuk Seri Alias Ahmad  
  • Datuk Seri Alias Ahmad
PUTRAJAYA - Banyak restoran dan hotel di negara ini‎ yang tidak mengenakan cukai perkhidmatan atau servis namun masih mampu meneruskan operasi.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)‎, Datuk Seri Alias Ahmad tampil mempersoalkan tindakan sebahagian kecil restoran dan hotel yang masih menjadikan caj itu sebagai alasan untuk membayar gaji pekerja.

"Kenapa ada yang mengenakan caj ini? (Hotel dan restoran) yang mempunyai perjanjian bersama (CA) antara majikan dan pekerja, hanya 7 peratus.‎ Jadi, kalau hanya ada 7 peratus sahaja. Apa jadi pada hotel-hotel lain yang tidak mengenakan caj perkhidmatan.

"Mereka boleh 'survive', ada sistem gaji sendiri‎. Jadi, kenapa hotel lain tak boleh ikut hotel yang tidak mengenakan caj perkhidmatan ini?" katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian KPDNKK mengani isu Antipencatutan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), di sini, hari ini.

Dalam pada itu‎, beliau turut menepis dakwaan kesalahan berkaitan caj perkhidmatan ini yang dilemparkan kepada kerajaan oleh sesetengah pihak.

"Persatuan-persatuan pengguna seratus peratus menyokong pengguna supaya dihapuskan caj perkhidmatan ini...dan menyalahkan kerajaan, kenapa baru sekarang nak ambil tindakan dan baru nak memulakan perbincangan?

"Tiada agensi kawal selia, tiada bapa, tiada peraturan tapi kita dah mulakan inisiatif sekarang untuk bincang cari jalan penyelesaian terhadap perkara in‎i. Ini perkembangan positif sebenarnya. Perkara yang baik," katanya.

Semalam, PKR mempertahankan caj perkhidmatan sebagai hak pekerja dan menyeru pengguna menghormati ketentuan itu.

Pada sidang media sama, Alias turut mengumumkan statistik jumlah aduan yang diterima pada 14 April dan 15 April menunjukkan penurunan sebanyak 6 peratus.

Aduan kenaikan harga barangan atau perkhidmatan masih merupakan jenis aduan tertinggi diterima iaitu 120 aduan sementara kenaikan harga di kedai-kedai runcit mencatatkan 34 aduan dan kenaikan harga di restoran atau kedai makan sebanyak 24 aduan.

No comments:

Post a Comment