• Gereja akur desakan penduduk Islam
PETALING JAYA - Tidak sampai tiga jam setelah menerima desakan penduduk Islam, lambang salib yang dipasang di sebuah lot perniagaan Metro di sini akhirnya dibuka semula oleh kontraktor dilantik gereja berkenaan.
 
Sebelum itu, wakil penduduk, Prof Datuk Abdullah Abu Bakar dengan bantuan polis mengadakan pertemuan dengan ketua gereja berkenaan bagi menyatakan hasrat penduduk di situ.
 
Menurut Abdullah, hasil perbincangan, pihak gereja menyatakan kesediaan untuk menurunkan lambang berkenaan secepat mungkin memandangkan ia telah mencetuskan kekecohan penduduk setempat.
 
“Kita cuba hormati amalan agama mereka namun, pihak mereka juga disarankan untuk menjaga sensitiviti penduduk di sini,” katanya.
 
Terdahulu, kira-kira jam 11 pagi semalam, seramai 100 penduduk Taman Medan berkumpul membantah pemasangan lambang berkenaan.
 
Penduduk yang ditemui memaklumkan, pemasangan lambang tersebut disedari beberapa hari lalu dan tindakan itu dipertikaikan kerana 95 peratus penghuni di kejiranan berkenaan beragama Islam.
 
Seorang penduduk yang menetap lebih 25 tahun di situ, Munaliza Hamzah, 52, berkata, bantahan ini bukan bertujuan menghalang penganut agama lain beribadah dan mengamalkan kepercayaan masing-masing, tetapi pemasangan salib di kawasan komuniti Islam jelas mencabar kesabaran mereka.
 
“Di Petaling Jaya memang dah banyak orang bina gereja, kami tak kisah pun. Tapi di Taman Medan ini hanya dua peratus sahaja penganut Kristian, itu pun pengusaha perniagaan di lot-lot kedai. 
 
"Oleh itu, kami berpendapat tak ada keperluan lambang salib dipacakkan di sini,” katanya ketika demonstrasi di hadapan gereja berkenaan.
 
Manakala seorang lagi penduduk, Datuk Mat Sah Abu Anas, 54, berkata, penduduk Islam hanya mahu pihak berkenaan menurunkan lambang itu sahaja.
 
“Kami hormati dan tidak kisah mereka mengamalkan kepercayaan yang dianuti, lagipun premis itu disewa. Tapi tolonglah turunkan lambang salib di bangunan itu, hormatlah majoriti komuniti Islam di sini. 
 
“Turunkan, itu saja gesaan kami,” katanya.