Penemuan menyayat hati 
  • Mayat mangsa dibalut
DUNGUN - Misteri kehilangan seorang warga emas, Jusof Abdullah, 79, sejak lebih dua minggu lalu setelah keluar rumah untuk ke kebun getah miliknya di Kampung Tepus, Bukit Besi akhirnya terungkai apabila mayatnya ditemui di dalam parit, di kawasan Ladang Sawit Ketengah, di sini, semalam.

Bau busuk di kawasan ladang itu membawa kepada penemuan mayat mangsa dalam keadaan terlentang serta masih berpakaian di dalam sebuah parit kering kira-kira jam 10 pagi.

Pekerja ladang, Wan Gayah Ripen, 47, berkata, ketika menjalankan kerja-kerja menebas semak-samun di ladang itu, dia terhidu bau busuk tetapi bukan seperti bau bangkai binatang.

Menurutnya, dia kemudian menyuruh seorang rakan sekerja, Ramzi Idris, 42, memeriksa punca bau busuk itu yang datang dari sebuah parit.

Wan Gayah berkata, dia bersama rakannya ketika itu sedang menebas dan secara tiba-tiba terhidu bau yang agak kuat dan pelik.

“Saya dapat meneka bau busuk itu datang dari sebuah parit yang jaraknya kira-kira 200 meter dari tempat saya menebas.

“Kemudian, saya minta tolong seorang untuk periksa bagi mendapatkan kepastian sehinggalah dia terjumpa mayat itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.


Tak terkejut jumpa mayat

Ramzi berkata, dia tidak terkejut dengan penemuan mayat itu kerana di dalam kepalanya sudah terfikir tentang warga emas yang hilang dan masih belum ditemui.

“Apabila saya menjenguk ke dalam parit kering itu saya nampak mayat dari paras pinggang sehingga kaki tetapi tidak berani untuk menyentuh atau memeriksanya dengan tangan.

“Kami kemudian memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan ladang yang selepas itu mereka melaporkan kejadian kepada polis,” katanya.


'Yakin itu bapa saya'

Anak mangsa, Ahmad Tarmizi Jusof berkata, dia dan keluarga sangat bersyukur dengan penemuan mayat itu kerana selepas ini jasad bapanya dapat disemadikan dalam keadaan baik.

“Saya dapat mengecam mayat arwah berdasarkan pakaian yang dipakai dan yakin itu adalah bapa saya.

“Saya tidak terkejut bapa sudah meninggal dunia kerana sudah dapat mengagak kejadian seperti ini akan berlaku dan dapat menerimanya dengan hati yang reda,” katanya.

Kata Ahmad, mereka sekeluarga berterima kasih kepada semua serta agensi yang membantu dalam operasi mencari dan menyelamat.

“Walaupun operasi sudah dihentikan selepas seminggu bapa hilang, kami sekeluarga dengan bantuan penduduk kampung tidak pernah berputus asa dan meneruskan usaha mengesannya,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke hospital berhampiran untuk bedah siasat dan diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Berdasarkan maklumat penduduk setempat, lokasi penemuan mayat sudah beberapa kali diperiksa ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan, tetapi tiada sebarang tanda mangsa berada di situ serta jaraknya adalah kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob mengesahkan mayat mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai dan penemuan golok milik mangsa di lokasi kejadian.