- Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditanya mengenai kehadiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang media hari ini.
AMPANG - "Kebetulan, beliau ada kawan dekat sana,” demikian respons
ringkas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditanya
mengenai kehadiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Jakarta bersamanya
sehingga timbul khabar angin yang mengatakan 'pertemuan' itu diadakan
bagi membincangkan mengenai penggantian Menteri Besar Selangor, Mohamed
Azmin Ali.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, dalam pertemuan itu, perbincangan
mengenai Abdul Khalid ingin menduduki semula kerusi nombor satu di
Selangor itu tidak timbul.
"Saya lawat Indonesia berjumpa dengan Speaker dan Timbalan Speaker
Dewan Perwakilan Indonesia, Pengerusi Pertamina serta kalangan
cendekiawan termasuk Muhammadiah, ulama dan golongan akademik untuk
membincangkan perpaduan ummah di Asia Tenggara.
"Kita tidak mahu apa yang berlaku di Asia Barat berlaku di sini
walaupun kita berbeza pandangan dalam kalangan kumpulan Islam dan
pemerintah sendiri. Kita tetap pilih demokrasi berparlimen walaupun ada
kelemahan yang kita tak setuju tapi tak sampai jadi macam Asia Barat
yang ada campur tangan asing.
"Kita tak mahu campur tangan asing berlaku di negara kita, itu
sebenarnya. Kita bincang itu saja tak timbul isu nak kembalikan Khalid
Ibrahim," katanya kepada pemberita pada majlis Kongres Profesional
Muslim SeMalaysia, di sini, hari ini.
Terdahulu tersebarnya sekeping gambar yang telah dimuat naik di
Twitter Abdul Khalid sendiri yang memaparkan pertemuan beliau
bersama-sama Abdul Hadi, Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
At-Takiri di Jakarta.
Sementara itu, turut tersebar di media sosial, mengenai perbincangan
mengenai lima Adun Selangor dari PKR yang akan mengumumkan untuk
‘melompat’ sekali gus menyatakan sokongan terhadap Abdul Khalid.
Ekoran khabar angin yang tersebar itu, Mohamed Azmin menafikan perkara
itu dan menganggap perkara itu hanya cerita dongeng semata-mata.
[ARTIKEL BERKAITAN: 'Khalid ambil alih Selangor hanya cerita dongeng']
Menurut Mohamed Azmin, beliau tidak dapat mengiyakan khabar angin tersebut sambil mendakwa ia sebagai propaganda Umno dan BN.
No comments:
Post a Comment