Sinar harian
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata,
beliau akan berasa bersalah jika kehilangan duit rakyat dan
ketidakadilan terus disembunyikan daripada pengetahuan umum.
Katanya, walaupun beliau bersendirian menuntut jawapan daripada Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam beberapa persoalan, namun ia
menjadi tanggungjawabnya untuk bertanya.
"Saya sedar saya keseorangan. Tetapi jika saya juga berasa
bertanggungjawab kepada rakyat salahkah. Apabila duit rakyat hilang dan
ini tersembunyi dari rakyat salahkah kalau saya tanya.
"Hakikatnya wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ada di mana masih
tidak dijawab, kata Datuk Seri Najib wang itu tidak ada di Cayman
Islands. Tetapi dulu mengaku ada di Cayman Islands dan sudah dibawa
balik," katanya dalam tulisan terbarunya bertajuk "Soal Tak Jawab" di
blog Chedet, semalam.
Sebelum ini, Dr Mahathir dengan lantang mendesak supaya Najib menjawab
pelbagai persoalan termasuk kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu,
kontroversi 1MDB dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Selepas beliau membuat asakan berulang kali, Najib akhirnya muncul di
kaca televisyen menerusi Soal Jawab Bersama Perdana Menteri pada Khamis
lepas untuk menjawab kritikan tersebut.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir juga berkata, penjelasan Najib itu hanya menyebabkan rakyat bertambah keliru.
"Jika tidak ada di Cayman Islands, ada di mana? Dari mana datang wang
yang separuh dibawa balik dahulu dan separuh dibawa balik untuk disimpan
di Singapura.
"Kenapa perlu simpan duit yang bukan dari Cayman Islands dan tidak
diguna untuk bayar faedah RM2 billion? Kenapa kerajaan membuat standing
credit sebanyak 900 juta?" soalnya lagi.
Bekas Presiden Umno itu juga turut mengulangi persoalannya tentang
dalang di sebalik pembunuhan model Mongolia yang tidak dijawab Najib
dalam wawancara di televisyen itu.
"Saya hanya bertanya siapa yang memberi arahan kepada Sirul yang dikena hukum bunuh. Saya tidak tuduh Najib.
"Biasanya anggota polis atau tentera tidak tembak mati sesiapa
melainkan diserang atau di arah. Ini soal nyawa manusia. Kalau salah,
bunuhlah Sirul. Tetapi kalau menjalankan tugas, menurut perintah tidak
adil lah jika Sirul dibunuh," tegasnya.
Mengulas isu jambatan bengkok yang ditimbulkan Najib, beliau
bagaimanapun berkata Ahli Parlimen Pekan itu cuba mengalih isu daripada
menjawab persoalan sebenar.
"Jika kerana jambatan bengkok yang saya marah, saya patut tuntut
peletakan Najib sebelum PRU 13. Sebaliknya saya berkempen untuk
kemenangan Najib. Kepimpinan Najib di Selangor tidak berkesan," ujarnya.
Serangan ke atas Najib terus dilakukan Dr Mahathir dengan mendakwa
sokongan kepada kepimpinan perdana menteri itu oleh beberapa pihak tidak
mencerminkan sokongan dalam isu 1MDB.
"Mereka takut. Ada yang tanya saya berkenaan dengan 1MDB dan minta saya
buat sesuatu. Sekarang ada ugutan terhadap sesiapa yang tidak
menyatakan sokongan kepada Najib.
"Teringat saya kepada ribuan orang yang dibawa berhimpun dan disuruh
angkat sepanduk “I love PM” dan menyanyi “I M 4 U”, tapi dalam PRU13
kalah," katanya
No comments:
Post a Comment