rafizi ramli  
  • Rafizi Ramli
PETALING JAYA - PKR masih berteka-teki sehingga hari ini‎ mengenai siapa calon yang akan bertanding bagi mewakili parti itu dalam mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli ketika ditanya pemberita mengenai kemungkinan calon itu wajah baharu, beliau hanya meminta media menanti pengumuman parti itu, Jumaat ini.

"Tunggu pengumuman. Bukan sayalah (yang) pasti. Kalau saya cakap sekarang, dah tak terkejutlah.

"Lagi dua tiga hari lagi Insya-ALLAH. Tunggu kejutan," katanya pada sidang media di Ibu pejabat PKR, hari ini.

Rafizi juga tetap mengunci mulut ketika ditanya jantina calon PKR yang telah diputuskan parti itu.

‎Dalam pada itu, menurut Rafizi, PKR agak lewat mengumumkan calon bagi PRK Permatang Pauh kerana mahu memberi kejutan seperti kejutan yang cuba dibuat BN.

"‎Kita nak beri kejutan macam BN nak beri kejutan," katanya ringkas.

PKR akan mengumumkan calon bagi PRK Permatang Pauh kurang 12 jam dari ‎tarikh penamaan calon iaitu Jumaat malam ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Mei depan sebagai hari pengundian bagi PRK Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang, sementara PRK Parlimen Rompin akan diadakan pada 5 Mei.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh diumumkan kosong selepas penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan beliau.