• Bangsal usang tempat berteduh
  • Bangsal usang yang didiami oleh Zakaria bersama enam anak di pinggir RKT Jeram Tekoh.

GUA MUSANG - Sejak kematian isteri lima tahun lalu, seorang lelaki terpaksa membesarkan enam anaknya bersendirian di sebuah bangsal usang di pinggir Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Jeram Tekoh, dekat sini.

Kini, Zakaria Yusoff, 32, yang merupakan generasi kedua peneroka Kesedar sudah tidak sanggup tinggal di bangsal itu dan merayu untuk mendapatkan bantuan rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR).

Zakaria berkata, kehidupannya bersama-sama empat anak perempuan dan dua anak lelakinya tidak selesa kerana kadang kala terdedah kepada ketirisan air hujan berikutan keadaan atap bangsal bocor.

"Saya tak pernah ditawarkan rumah oleh mana-mana pihak. Hanya bangsal usang ini menjadi tempat berteduh bersama anak-anak. Hidup kami penuh keperitan, terutama selepas isteri saya meninggal dunia ketika melahirkan anak keenam di Hospital Kuala Krai.

"Saya terpaksa pikul dua tugas sekarang ini iaitu mencari rezeki dan menguruskan rumah tangga termasuk memasak untuk anak-anak sebelum dan selepas mereka pulang dari sekolah setiap hari," katanya.

Menurut Zakaria, dia sebenarnya tidak memikirkan sangat perihal tempat tinggal kerana baginya, asal ada tempat berteduh sudah cukup, namun jika ada pihak sudi memberi bantuan rumah, dia akan menerima dengan berbesar hati.

Katanya, saban hari dia akan menghitung waktu untuk dapat upah lebih daripada hasil menoreh getah agar dapat menyediakan wang lebih untuk belanja makan yang lebih baik untuk keluarganya.

"Kadangkala kami terpaksa makan ala kadar sahaja, malah pernah hanya makan nasi berkuah budu dan berlauk ikan kering semata-mata ingin menjimatkan perbelanjaan.

"Perbelanjaan sekolah anak-anak juga semakin meningkat berikutan kenaikan harga barang makanan. Selain itu, saya tidak mahu selamanya hidup menumpang ibu bapa. Saya cuba untuk hidup berdikari sambil membesarkan anak-anak," katanya.

Sementara itu, seorang peneroka RKT Kesedar Jeram Tekoh, Abd Ghani Mamat, 57, memberitahu, pihak pengurusan Kesedar sepatutnya membina rumah bagi generasi kedua terutama yang telah berumah tangga.

Katanya, kebajikan generasi kedua perlu dijaga dan tidak seharusnya dibiarkan hidup dalam kesusahan tanpa sebarang pembelaan daripada pengurusan tertinggi agensi tersebut.