Monday, May 4, 2015

Azmin gesa pengundi Permatang Pauh ‘sokong’ cakap Dr Mahathir


4/5/15
Azmin gesa pengundi Permatang Pauh ‘sokong’ cakap Dr Mahathir
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menyampaikan amanat yang agak unik kepada pengundi di Permatang Pauh malam tadi, menggesa mereka menyokong cakap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Amanat itu disampaikannya sewaktu membuat perbandingan antara calon Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh Suhaimi Sabudin, 44, dan Dr Mahahthir yang berusia hampir 90 tahun.
Menurut Azmin, walaupun Suhaimi dilaung-laungkan BN sebagai seorang calon muda, beliau tidak akan berani menolak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) setegas bekas perdana menteri keempat Malaysia itu.
"Baik kita sokong orang tua yang umurnya dah 90 tahun. Sekarang seluruh negara dia sudah bising (tentang GST).
"Dia cuma boleh panjang umur menerusi krisis. Lagi dia bergaduh, lagi dia kuat," kata Azmin dalam ceramahnya di Kubang Ulu, di Permatang Pauh malam tadi.
Dr Mahathir sebelum ini menggesa kerajaan agar menghapuskan GST di samping melemparkan kritikan demi kritikan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh yang jatuh pada 7 Mei ini, PKR menggunakan kempen anti-GST sebagai modal politik mereka.
Sewaktu BN menawarkan manifesto dengan 6 tawaran, kempen PKR pula berkisar sekitar 6 patah perkataan sahaja - "Demi Rakyat Bantah GST Tegakkan Keadilan".
Sementara itu, Azmin dalam ceramah sama turut meluahkan kekesalannya terhadap tindakan polis menahan peserta himpunan anti-GST.
"Tolong beritahu ketua polis negara, mahu jadi ketua polis negara yang menjaga keselamatan rakyat atau mahu jadi barua Umno dan BN," kata Azmin.
Beliau turut mencabar agar rakaman ucapannya itu disampaikan kepada Tan Sri Khalid Abu Bakar.
"Rakyat minta jadi ketua polis negara yang ada maruah dan prinsip, baru kita hormat.
"Kalau tidak, rakyat akan benci pada kamu kerana kamu penjadi pencacai kepada Umno dan BN," katanya. -- 4 Mei, 2015
Sehingga kini, 23 orang peserta ditahan reman selama 3 hari susulan himpunan anti-GST pada 1 Mei lalu.
Mereka direman di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan dan Letupan.
Enam peserta bawah umur pula dibebaskan selepas ditahan semalaman. - TMI

No comments:

Post a Comment