Monday, May 25, 2015

Ku Li: PM boleh kena prosiding hina Parlimen

 25 May 2015
Jawapan bercanggah perdana menteri berhubung simpanan 1MDB di bank Singapura boleh mendedahkan beliau kepada prosiding menghina Parlimen, kata wakil rakyat veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagaimanapun, katanya Datuk Seri Najib Razak, yang juga menteri kewangan, sudah membetulkan jawapan Parlimen itu dan tidak boleh dianggap sebagai berbohong.

“Walau apa pun, PM tidak patut melanggar keistimewaan dewan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya berhubung pembetulan Najib selepas dua bulan, Tengku Razaleigh berkata terpulanglah kepada kedua-dua pihak untuk membangkitkan perkara itu di Parlimen sama ada perdana menteri mengelirukan dewan.

Kementerian Kewangan semalam menjelaskan bahawa ia meminda jawapan bertulis 10 Mac di Parlimen mengenai 1MDB untuk "mengelakkan kekeliruan".

Penjelasan itu dibuat selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir (kiri) Mohamad mendakwa Najib "berbohong" berhubung perkara itu.

Ia menjelaskan bahawa bahawa jawapan bertulis Parlimen yang dibuat oleh perdana menteri mengenai kedudukan kewangan 1MDB di bank BSI Singapura ditulis dan disemak oleh pegawai kementerian berdasarkan maklumat syarikat pelaburan negara itu.

Kementerian menjelaskan lazimnya jawapan bertulis Parlimen dibuat atas nama beliau berdasarkan maklumat agensi berkenaan yang kemudiannya disemak dan diedarkan oleh para pegawai.

Jawapan bertulis pada 10 Mac menyebut AS$1.103 bilion (RM3.6 bilion) disimpan dalam bank Singapura itu dalam bentuk wang tunai, tetapi kemudiannya menjelaskan ia dalam bentuk aset.

Menteri Kewangan II Datuk Ahmad Husni Hanadzlah berkata "simpanan dalam bentuk unit".
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment