• Nenek rantai cucu pada tiang  
  • Gambar kanak-kanak dirantai pada tiang papan tanda oleh neneknya dimuat naik dalam Facebook dan menjadi viral.
BIDOR - Gara-gara tidak menyiapkan kerja sekolah, seorang kanak-kanak berusia empat tahun dirantai pada tiang papan tanda selama lima minit oleh neneknya di di Taman Maju Jaya di sini, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, tindakan wanita berusia 54 tahun itu menjadi viral selepas gambar cucunya dirantai itu tersebar dalam laman sosial, Facebook hingga satu laporan di buat di Balai Polis Bidor, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, bertindak daripada laporan itu, anggota polis pergi ke rumah mangsa dan siasatan awal mendapati neneknya mengaku mengambil tindakan sedemikian terhadap kanak-kanak terbabit.

Menurutnya, wanita terbabit marah kepada cucunya itu yang disifatkannya nakal dan berdegil enggan membuat kerja sekolah.

“Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa dirantai di tiang papan tanda tersebut selama lima minit namun dia tidak ditinggalkan bersendirian kerana neneknya tetap memperhatikannya.

“Siasatan lanjut mendapati, mangsa dijaga oleh neneknya sejak berusia lapan bulan berikutan ibu bapanya bekerja di Singapura sebagai tukang masak.

Ibu bapa mangsa hanya balik ke Bidor menjenguk anak mereka sekali dalam masa antara dua atau tiga bulan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Som Sak berkata, hasil temubual, mangsa mengakui dia tidak dipukul sebaliknya hanya dimarahi kerana tidak membuat kerja sekolah.

“Kita juga jalankan pemeriksaan pada tubuh badan kanak-kanak itu dan mendapati tiada sebarang unsur penderaan seperti lebam mahupun kesan kecederaan. Perbandingan gambar dalam Facebook adalah sama di hadapan rumah mangsa.

“Percakapan nenek mangsa telah dirakam dan siasatan secara terperinci akan dijalankan terhadap kes ini,” katanya.

Sinar Harian