Ma'arof Mustapha 
  •  Ma'arof Mustapha
PERMATANG PAUH - Pemimpin BN digesa berhenti daripada terus memainkan isu pembangunan di Permatang Pauh kerana tuduhan kawasan itu jauh ketinggalan itu tidak berasas.
Demikian kata seorang pengundi muda kawasan itu, Abdul Halim Mohd Yusuf, 28, sambil menegaskan, banyak pembangunan telah dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk pusat pendidikan dan ekonomi.

"Kalau kita masuk Parlimen Permatang Pauh di Dun Seberang Jaya, kita boleh tengok banyak pembangunan, ada wayang, pusat sukan, perpustakaan dan institut pengajian tinggi seperti UiTM dan Politeknik yang diusahakan sendiri oleh Datuk Seri Anwar.

"Cukuplah main isu pembangunan ini, sebab setiap pemimpin akan buat pembangunan, hanya pemimpin yang kurang cerdik saja tidak mahu buat pembangunan," katanya kepada Sinar Online, di Permatang Pasir, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pengundi kawasan sama juga, Samad Haron, 55, berkata, sepanjang proses kempen berjalan, tiada unsur provokasi dimainkan kedua-dua pihak yang bertanding.

"Sambutan pengundi terhadap calon pun di kawasan ini baik, harapan kita untuk hendak mengekalkan Permatang Pauh.

"Kita rasa dengan isu semasa yang ada mungkin kita dapat tambah majoriti," katanya.

Bagi Dr Syed Azman Hedra, 46, pula, beliau berharap legasi bekas wakil rakyatnya dapat diteruskan berikutan Anwar sudah menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh sejak 1982.

"Kami yakin legasi Anwar dapat diteruskan kerana pengundi-pengundi di Permatang Pauh begitu menyokong Anwar," ujarnya.

Keyakinan itu turut disuarakan oleh Abu Bakar Ali, 60, sambil menegaskan sokongan yang bakal diberikan pengundi bukan lagi undi simpati sebaliknya undi untuk mengubah kerajaan.

"Pimpinan PR kerap turun ke sini. Kami yakin PR akan menang dengan majoriti tinggi.

"Ini bukan undi simpati tetapi undi untuk jatuhkan kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, seorang warga emas, Ma'arof Mustapha, 56, pula berkata beliau bersedia menerima wakil rakyat wanita yang bersih daripada salah laku dan penyelewengan.

"Sejak 1999 dia jaga elok tak ada apa lah, dia (Anwar dan Wan Azizah) selalu turun, kalau dengar belah BN kata dia tak pernah turun pun.

"Kita khuatir jika Suhaimi menang nanti, Datuk Seri Najib akan bagi banyak projek pada dia sebab dia kontraktor, dia bukan nak jaga rakyat," katanya lagi.