Wednesday, May 6, 2015

PRK Rompin: Anak muda Felda tolak Isa Samad

SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: Lonjakan sokongan anak muda Felda kepada PAS di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin yang berakhir semalam memberi isyarat bahawa mereka menolak individu bernama Isa Samad, demikian menurut Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman.

Katanya, faktor kepimpinan Tan Sri Isa Samad selama empat tahun di dalam Felda menyebabkan pelbagai isu yang melanda agensi itu termasuklah kesannya kepada peneroka Felda.

"Dengan isu penyenaraian FGVH, pemecatan dua pengarah besar Felda dan beberapa dakwaan penyelewengan serta salah laku Isa Samad. Ini semua dalam tempoh 4 tahun dia di dalam Felda. Inilah kesannya," kata beliau kepada Harakahdaily.

Katanya, dengan kemenangan di dua peti undi Felda Keratong 2 dan Keratong 4 juga sebagai petanda supaya kerajaan meneliti apa yang sedang berlaku di dalam Felda sama ada selepas PRU-13 lalu pun tidak berlaku anjakan dan perubahan di seluruh negara.

Beliau tidak nafikan PAS juga berjaya mengurangkan majoriti BN di Rompin kerana penolakan terhadap pelaksanaan GST yang rata-rata mendapat bantahan hampir ke semua termasuk penyokong BN sendiri.

Bahkan katanya, untuk PAS mendapat undi di Felda bukanlah begitu mudah kerana berdasarkan PRK yang diadakan sebelum ini undi di Hulu Selangor, Kerdau dan Tenang tidak menyebelahi PAS.

"Peti undi Felda salah satu cabaran besar buat Anak dari segi gangguan dan provokasi seperti di Tenang yang ada 3 Felda kita dapat gangguan kuat dan sambutan begitu muram," katanya.

Kali ini di Rompin, katanya, suasana sangat berbeza apabila anak muda mula menunjukkan sokongan kepada PAS sebaik sahaja penamaan calon diumumkan.

"Pada program Pelancaran Selamatkan Felda di Keratong 4, seramai 200 anak muda menyertai PAS dan disusuli malam-malam berikutnya. Saya tengok bagaimana anak-anak muda daripada pelbagai latar belakang datang ke Markaz PAS untuk mengisi borang keahlian tanpa ditaja sebaliknya mereka membayar yuran ahli dengan duit mereka sendiri.

"Maknanya mereka bersedia membuat perubahan walaupun pada saat akhir BN menyogok mereka dengan beberapa janji ia tidak diendahkan," jelas Mazlan melihat usaha NGO Anak berbaloi dengan hasil yang mereka dapat.

Justeru katanya keberanian anak muda Felda satu lonjakan, yang selama ini menjadi keresahan Anak tentang bagaimana usaha mereka untuk mengajak pengundi membuat perubahan di Felda.

Peti undi di Keratong 5 PAS hanya kalah kepada 12 undi sahaja.

Suasan ini begitu berbeza ketika pada PRU-13 lalu. Daripada 115 Felda di Pahang, hanya Felda Jengka 18 memihak kepada PAS.

Pada 29 April lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin yakin BN menang majoriti lebih 15,000 di PRK Rompin. Bagaimanapun keputusan PRK Rompin semalam PAS berjaya mengurangkan majoriti BN kepada 8,895. Pada PRU lepas BN menang dengan majoriti sebanyak 15,114 undi. – HARAKAHDAILY 6/5/2015

No comments:

Post a Comment