Tuesday, June 2, 2015

Hadi selamat 500 undi, kata penganalisis

2 Jun 2015
Di atas kertas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kumpulan proulama PAS dilihat selamat dengan sekurang-kurangnya 500 undi daripada keseluruhan 1,195 perwakilan dalam muktamarnya Khamis ini.

Pengamat politik PAS Muhammad Hisomuddin Bakar berkata jumlah sokongan, daripada trend pengundian blok, bagaimanapun boleh mencecah sehingga 700 orang atau 70 peratus.

Pengarah eksekutif pusat kajian bebas Ilham Centre berkata angka itu tergambar daripada perubahan besar akar umbi yang menyaksikan kumpulan tidak pro-status quo berjaya disingkirkan.

Kes paling menarik apabila bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin kecundang di tangan pemimpin kawasan kurang terkenal setelah mengetuai kawasan itu selama 16 tahun.

"Dengan bertukarnya perwakilan baru, komposisi yang memilih pemimpin yang progresif, berdasarkan merit, rasional, kelebihan individu dan kesan kepada pilihan raya umum akan datang juga sudah bertukar.

"Dengan pertukaran ini juga, di atas kertas, kumpulan proulama atau konservatif sudah menang di peringkat lapangan dan kawasan.

“Dan peluang mereka (proulama) cerah, di peringkat jawatankuasa pusat," kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Muhammad Hisomuddin Bakar.

Perbersihan total

Setelah 13 tahun, Hadi dicabar oleh bekas naib presiden dan presiden 17 tahun Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Ahmad Awang.

Timbalannya Mohamad Sabu pula dicabar ulama terkenal parti Islam itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dihubungi Malaysiakini, Hisomuddin berkata perubahan kepimpinan PAS di peringkat kawasan berlaku di hampir kesemua 192 kawasan PAS di seluruh Malaysia.

Katanya, perubahan itu dilihat dicapai hasil program terancang di peringkat kawasan oleh kumpulan itu sejak berakhirnya muktamar PAS di Batu Pahat tahun lalu.

“Kalau mengikut mengundi mengikut blok, pembersihan secara total akan berlaku.

"Sistem ini efektif untuk menguasai kepimpinan kawasan dan untuk mencapai kemenangan di peringkat pusat," katanya.

Pemilihan jawatankuasa pusat PAS akan berlangsung Khamis ini dalam muktamarnya yang ke-61 di Kuala Selangor.

Keputusan dijadual diumumkan keesokan harinya. 
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment