•  Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa
KOTA BHARU - Seorang kerani sebuah syarikat, rugi lebih RM30,000 selepas wang yang dikeluarkan di sebuah bank disamun dua lelaki dalam kejadian di Wakaf Siku, di sini, tengah hari kelmarin.
     
Wang berkenaan adalah untuk membayar gaji pekerja.
     
Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, mangsa menyedari diekori seorang lelaki ketika melintas jalan selepas selesai mengeluarkan wang berkenaan dari bank tersebut.
   
Mangsa kemudiannya segera masuk ke dalam kereta dan mengunci kenderaannya sebelum dihampiri dua lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125 C.

Pembonceng motosikal itu cuba membuka pintu hadapan kereta mangsa tetapi gagal, menyebabkan dia berang dan memecahkan cermin kenderaan tersebut.

Mereka berjaya melarikan beg duit dan sampul berisi wang tunai dalam kereta berkenaan, selain beberapa barangan berharga milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa yang mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa turut mengalami kecederaan luka di hidung dan kening akibat terkena serpihan kaca.

“Berdasarkan siasatan yang dibuat, mangsa tidak cam wajah suspek kerana kedua-duanya memakai topi keledar.

"Kita masih memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera melaporkan kepada pihak polis,” katanya.