• Sedih Kajol dihukum penjara Kajol (kanan) yang mengalirkan air mata selepas dihukum penjara sebulan dan denda RM1,000 kerana kesalahan berpakaian wanita kali keempat.
1 / 3
KOTA BHARU – Mendapat khabar berita berhubung rakan seperjuangannya Kajol yang dihukum penjara kerana berpakaian wanita di Mahkamah Syariah, di sini, minggu lalu, membuatkan dia terkedu dan sedih.
 
Pendikir terkenal Kelantan, Megat Nordin atau nama sebenarnya Nor Din Yusoff, 54, berkata, sebagai orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Kajol atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Jefery, 29, ke dunia seni, beliau seharusnya merasa hiba atas nasib pendikir itu.
 
Katanya, Kajol adalah seorang individu yang sangat baik budi pekertinya dan walaupun dia dilahirkan sebagai seorang lelaki, Kajol secara semula jadi mempunyai perwatakan lemah lembut serta sentiasa menghormati orang yang lebih tua.
 
 “Saya mengenali Kajol ketika usia dia baru mencecah lima tahun. Ketika itu, dia bersama seorang rakan datang berjumpa saya yang sedang berniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh dengan tujuan mahu saya membawanya ke majlis-majlis untuk menyanyi bersama saya.
 
“Mulanya, saya tidak yakin dan kemudian dia mengikut saya pulang ke rumah. Kebetulan ketika itu musim cuti sekolah dan rumahnya pula jauh di Gua Musang, jadi saya benarkan dia tinggal selama seminggu,” katanya.
 
Mengimbau kenangan 18 tahun lalu itu, Megat Nordin berkata, dia kemudian mempercayai bakat yang ada pada Kajol ketika terdengar dia menyanyi di dalam bilik mandi rumahnya.
 
“Di situ terlintas di hati saya, boleh tahan nyanyian budak ini. Saya kemudian membawanya berlatih menyanyi dan apabila bakat itu disedari orang lain, dia kemudian mempunyai pengurus serta mula bergerak sendiri sehingga sekarang,” katanya.
 
Menurutnya, ketika seminggu Kajol yang juga berasal dari suku kaum Orang Asli itu tinggal di rumahnya, dia dapat lihat sifat kewanitaan yang ada dalam diri Kajol seperti sangat sukakan kebersihan dan banyak masa berada di dapur basuh pinggan mangkuk serta bantu isterinya memasak.
 
“Ketika itu, dia masih berpakaian seperti kanak-kanak lelaki yang lain dengan berseluar panjang dan berbaju T. Cuma semasa dia betul-betul aktif menyanyi sahaja dia mula memakai pakaian wanita. Dia pernah kata pada isteri saya, rela mati kalau tidak pakai macam perempuan,” katanya.
 
Walaupun bersedih dengan hukuman yang dikenakan kepada Kajol, Megat Nordin yang juga pemenang keempat Kilauan Emas musim ke-4 lalu tetap tidak bersetuju dengan cara Kajol berpakaian wanita tersebut dan menasihatkan pendikir yang sudah dianggap seperti anaknya itu supaya berubah.
 
“Saya anggap dia sebagai anak dan mahu membantu dia mengubah cara berpakaian kerana dalam Islam itu yang salah tetap salah. Tidak boleh kita halalkan dan dia seharusnya menerima kelembutan yang dijadikan tuhan itu sebagai satu ujian untuk dia melawan dan menjadi lelaki tulen,” katanya.