Saturday, July 4, 2015

Isu Mara: Kenapa tak panggil Shafie, Idris Jusoh?

Sinar Harian
Rafizi Ramli
Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM – Tindakan Majlis Amanah Raya (Mara) yang merehatkan dua pegawai tertinggi anak syarikatnya, Mara Incorporated Sdn Bhd semalam dilihat hanya mengambil jalan mudah untuk menunjukkan tindakan sudah diambil.
 
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mendakwa tindakan itu tidak memadai kerana dalam masa sama pembuat keputusan yang bertanggungjawab ke atas pembelian hartanah di Melbourne, Australia dibiarkan bebas begitu sahaja.
 
“Mereka ini adalah orang yang bertanggungjawab besar, kerana merekalah yang meluluskan pembelian, kemudian pergi ke Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusi dan diluluskan oleh Perdana Menteri.
 
“Saya tahu mereka hanya akan gantung dua orang pegawai untuk jadi kambing hitam, jadi sebarang keputusan atau tindakan yang lebih baik adalah perlu melibatkan kumpulan yang meluluskan urus niaga itu termasuk mereka yang berada di Mara dan juga Majlis Ekonomi,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.
 
Mengulas lanjut, Rafizi selaku Pengarah Eksekutif National Oversight and Whistleblowers (NOW) menegaskan, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh juga perlu dikenakan tindakan sama seperti dua pegawai tertinggi Mara.
 
“Kalau ahli politik, kecuaian itu adalah satu perkara besar dan dia perlu letak jawatan. Kalau dalam kecuaian itu ada unsur jenayah, maka tindakan perlu diambil kepada mereka.
 
“Hukuman yang dikenakan ke atas dua pegawai tertinggi Mara Inc itu perlu juga dikenakan kepada mereka yang meluluskan jual beli itu, iaitu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Idris Jusoh dan Shafie Apdal dan mungkin Perdana Menteri sendiri kerana dia mempengerusikan Majlis Ekonomi,” ujarnya.
 
Dalam pada itu, Rafizi juga mendakwa, naib presiden Umno itu mempunyai hubungan baik dengan pengerusi Mara Inc susulan beliau adalah seorang Adun Sulabayan dalam kawasan Parlimen Semporna yang diwakilinya.
 
“Ini melambangkan bahawa mereka adalah rapat, jadi timbul persoalan sama ada menteri itu yang melantik Adun Sulabayan ini yang kemudiannya dia digantung atas disyaki terlibat dalam penyelewengan.
 
“Jadi menteri, dia dua kali bertanggungjawab itu dia atas keputusan melantik seorang Adun dari kawasan dia yang dipercayai menipu duit Mara,” katanya lagi.
 
Semalam, Mara mengambil keputusan untuk 'merehatkan' dua pegawai kanan Mara Inc sementara sepanjang siasatan dijalankan berhubung isu pembelian hartanah oleh anak syarikat Mara itu di Australia dan United Kingdom.
 
Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, dua pegawai berkenaan ialah Pengerusi Mara Inc, Datuk Mohammad Lan Allani dan Ketua Pegawai Eksekutif Mara Inc, Datuk Abd Halim A Rahim.

No comments:

Post a Comment