Untuk
kesekian kalinya, di penghujung Ramadhan ini kita dikejutkan pula
semalam dengan kematian seorang pegawai perubatan, Dr. Afifah Mohd
Ghazi, 29, akibat nahas kemalangan jalan raya selepas bertugas ‘on call’
di Hospital Sungai Buloh.
Allahyarham meninggalkan seorang suami dan seorang anak lelaki berusia setahun.
Bagaimanapun, nahas yang dialami Allahyarham menjadi polemik apabila
ia berlaku selepas Allahyarham dikatakan bertugas ‘on call’ selama 36
jam dengan hanya rehat beberapa jam sahaja.
Ia sekaligus mengakibatkannya keletihan untuk memandu dan selari
dengan kenyataan saksi yang menyebut bahawa kereta yang dipandu
Allahyarham terhoyong-hayang sebelum berlaku kemalangan.
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak agar kerajaan mengambil
berat isu bebanan kerja yang berlebihan yang dipikul oleh
pegawai-pegawai perubatan muda ini.
Ini bukanlah kes kemalangan yang pertama yang menghiasi dada akhbar
melibatkan doktor muda yang memandu di dalam keletihan akibat beban
kerja yang berlebihan. Kerajaan perlu berhenti dari mendera.
DPPM menggesa kerajaan agar bertindak segera terhadap isu kekurangan
pegawai perubatan demi memastikan agihan kerja seimbang dapat
dilaksanakan di kalangan pegawai perubatan.
Perlulah diingatkan bahawa data rasmi kerajaan sendiri menyatakan
bahawa nisbah antara doktor dan penduduk di Malaysia kini berlegar
sekitar 1:660 sahaja berbanding 1:400 yang dicadangkan oleh Pertubuhan
Kesihatan Dunia (WHO) bagi negara maju.
Angka ini lebih sedikit berbanding kenyataan Datuk Seri Liow Tiong
Lai pada tahun 2012 bahawa Malaysia akan mempunyai nisbah doktor 1:600
pada tahun 2015. Beliau yang merupakan Menteri Kesihatan pada masa
tersebut mengeluarkan kenyataan demikian selepas melakukan lawatan ke
Hospital Kluang pada 29 April 2012.
DPPM mengajak warga dunia perubatan agar bangkit menyuarakan hak
mereka sebagai profesional yang dilatih untuk berkhidmat untuk
masyarakat.
Warga perubatan harus mendesak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan
agar prihatin dengan waktu kerja mereka yang tidak berperikemanusiaan
ini. - 10/7/2015
AHMAD FADHLI BIN SHAARI
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment