(SH) KUANTAN – Tidak akan timbul masalah sekiranya Gerakan Harapan Baru
(Harapan Baru) ingin menyertai Pakatan Rakyat (PR) apabila parti baharu
itu akan ditubuhkan pada 14 September depan.
Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, penyertaan
parti itu dalam PR hanyalah untuk memastikan PR akan terus kuat dan
kukuh dalam mengharung arus politik di negara ini.
“Ini adalah pandangan peribadi saya dan ia tidak membabitkan sebarang keputusan daripada PKR pusat.
“Bagi saya Harapan Baru mungkin boleh menyertai PR sekiranya mereka
mahu bergabung atau bersatu atas dasar dan perjuangan yang sama iaitu
mencari keadilan,” katanya.
Fauzi berkata, beliau lebih selesa sekiranya keempat-empat parti itu terus dikekalkan berada di bawah satu bumbung dalam PR.
“Lebih elok rasanya kalau Pas, DAP, Harapan Baru dan PKR berada bersatu
dalam satu gabungan dan kita mencari titik persamaan dengan menetapkan
satu prinsip dan perjuangan sama.
“Kalau ada titik persamaan itu, saya percaya PR boleh menjadi sebuah
parti yang kuat. Saya juga yakin apabila perjuangan sama diamalkan oleh
parti dalam PR, tidak perlu banyak parti untuk diwujudkan,” katanya.
Bagaimanapun, Fauzi meminta agar Pas dan DAP menyelesaikan kemelut yang
dihadapi mereka secara baik dan terbuka serta bersama-sama agar dapat
mencapai titik persamaan itu.
“Bukan Pas dengan DAP sahaja perlu diselesaikan perbezaan mereka,
tetapi Pas dengan Harapan Baru perlu ada persefahaman antara satu sama
lain,” katanya.
Menyentuh mengenai penubuhan Harapan Baru, Fauzi berkata, sebagai
sebuah negara demokrasi, individu atau kumpulan berhak menubuhkan
parti.
“Itu hak mereka untuk melakukan apa sahaja termasuk menubuhkan sebuah parti baharu,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, sekiranya Pas tidak mahu berada di dalam PR,
parti itu boleh bergerak sendiri untuk memperjuangkan dasar mereka.
No comments:
Post a Comment