Friday, July 3, 2015

Luahan hati seorang guru kepada Perdana Menteri

 Luahan hati seorang guru kepada Perdana Menteri
Salinan paparan yang dikongsikan oleh Jay Kassim
PENDAPAT seorang pengguna laman sosial yang didakwa bekerja sebagai seorang guru terhadap sistem percukaian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan isu kenaikan harga minyak menjadi viral sejak Selasa lalu.
 
Tinjauan Sinar Online mendapati perkongsian oleh pelayar Jay Kassim mendapat perhatian lebih 10,000 pelayar dan menarik lebih 700 komen dan 5,000 perkongsian.
 
"Perdana Menteri yang dihormati, saya adalah seorang penjawat awam, saya telah berkhidmat untuk negara selama lebih satu dekad dan saya bukan orang kaya," kata Jay di laman Facebook. 
 
"Saya telah menyokong kerajaan yang memerintah semasa sejak hari saya dilahirkan. Tetapi sejak kebelakangan ini saya telah menjadi begitu marah dengan anda dan Kabinet kerana tidak menangani isu-isu kewangan halus dengan bijaksana. Saya ingin melihat anda akan turun ke tahap kami untuk melihat bagaimana rakyat anda benar-benar hidup. Saya ingin menyatakan beberapa isu yang saya fikir mungkin telah tergelincir dari perhatian anda.
 
"Pertama,  GST tidak membantu golongan miskin. Semua orang menderita. Adakah anda tahu bahawa rakyat anda pergi ke pasar, kami lihat harga barangan dan mengeluh? Adakah anda sedar bahawa ramai di antara rakyat yang membeli ikan tunggal (seekor yang kecil) untuk memberi makan keluarga 5 beranak?" ujar Jay lagi.
 
"Kedua, harga petrol telah meningkat sebanyak RM0.10 sekali lagi bulan ini. Secara jujur, pada kadar ini, harga akan naik kepada RM2.70 seliter seperti dulu apabila Pak Lah (Tun Abdullah Badawi) telah 'memerintah'.
Anda mungkin mengenakan terlalu banyak peraturan terhadap kedai supaya mereka tidak menaikkan harga barang keperluan harian tetapi sejauh mana anda boleh mengawal kenaikan harga? RM0.10 mungkin jumlah kecil bagi sesetengah orang, tetapi untuk sebahagian besar dari kami, ia adalah satu lagi beban yang kami tidak mampu untuk memikul.
 
"Ketiga, untuk membuat kita kelihatan baik di mata dunia, kita menderma jumlah wang yang mengejutkan ke negara-negara lain yang mengalami bencana. Bukan untuk mengatakan bahawa kita tidak boleh berbuat demikian, tetapi kebaikan bermula dari rumah (negara). Pernahkah anda melihat kediaman mangsa banjir? Ada yang masih tinggal di khemah-khemah.
Tidak bolehkah kita menggunakan wang itu untuk membina rumah yang lebih baik bagi orang-orang yang terlibat dengan banjir, atau gempa bumi yang melanda (Sabah) baru-baru ini? Lagipun, kita juga baru sahaja pulih daripada pelbagai bencana, kita patut dahulukan orang kita.
 
"Saya tidak pasti jika saya akan mendapat masalah kerana menulis perkongsian ini, tetapi tuan, keadaan semakin tidak terkawal dan adalah bagus jika anda boleh menimbangkan kebajikan rakyat yang telah mengundi untuk anda. Jadilah juara kami, bukan penindas kami," akhiri Jay.

No comments:

Post a Comment