Saya terkejut dengan tajuk laporan akhbar Sinar Harian yang berbunyi Kerajaan Terengganu Pohon Saham LPT2.
Adakah selama ini sehingga lebih RM1.8 billion wang negeri Terengganu
yang telah digunakan untuk pembinaan LPT2 itu memangnya sebelum ini
tidak pernah difikirkan sebagai saham di dalam projek berkenaan atau
kerajaan Terengganu membayar dahulu atas dasar sebagai pinjaman wang
kepada pusat?
Adakah baru hari ini mahu berunding memohon sejumlah saham dalam LPT2?
Atau adakah sebelum ini pada asalnya negeri Terengganu yang mempunyai
bilangan penduduk termiskin antara yang teramai di seluruh negara, mahu
memberi percuma wang negeri yang berjumlah lebih RM1.8 billion itu?
Saya mencadangkan agar daripada kerajaan Terengganu menyusahkan diri
dengan terlibat urusan pemilikan beberapa peratus saham yang bukan
controlling majority sehingga boleh secara efektif menentukan pulangan
atas pelaburan yang patut diterima oleh negeri, bukankah lebih baik
merundingkan agar wang tersebut dikembalikan kepada Kerajaan Terengganu
untuk tujuan pembangunan loji rawatan air yang baru yang lebih besar
kapasitinya, penggantian paip paip lama dan selesaikan pelbagai perkara
lagi berkait masalah bekalan air Terengganu yang semakin kritikal. Ini
termasuklah bayaran pampasan tanah loji rawatan di sesetengah tempat
yang khabarnya begitu lama tidak diselesaikan.
Masalah air di Terengganu bukan berpunca kekurangan bekalan air
mentah. Malah Terengganu kaya dengan sumber air. Masalahnya kegagalan
mewujudkan pelan jangka panjang bekalan air negeri.
Gangguan bekalan air menjejaskan lebih 60,000 rumah kediaman di Terengganu pada musim perayaan Aidil Fitri ini.
Wang RM1.8 billion bukan sahaja cukup untuk selesaikan isu air. Malah
lebih dari cukup untuk memperbaiki kekurangan dan kelemahan perparitan
yang turut menyumbang kepada masalah banjir setiap tahun.
Itupun hanya jika Kerajaaan Terengganu yg dibawah Umno menghentikan
perbelanjaan boros yang mensia-siakan wang rakyat seperti projek EBook
yang telah disahkan gagal, pembinaan bangunan Paya Bunga Square yang
dilihat bagai bakal mengulangi kemalapan di Kompleks Plaza Perdana dan
KT Mall, Pulau Bebas Cukai yang menelan belanja ratusan juta, Kompleks
Tekstil Kijal yang juga ratusan juta, Monsoon Cup yang didedahkan
habiskan hampir setengan billion, parking mekanikal yang gagal, bot-bot
yang ditempah untuk Tasik Kenyir yang tersadai di muara Sungai
Terengganu tidak dapat diangkut ke Tasik Kenyir, Flat Ladang Gemilang
yang begitu banyak kekurangan, Projek Perumahan Rakyat di Padang Hiliran
yg ternyata tidak menjanjikan pemilikan rumah oleh rakyat seperti
pernah dijanjikan oleh Umno dan pelbagai lagi isu yang begitu banyak dan
besar jumlah wang rakyat yang terlibat yang menyelubungi negeri
Terengganu.
Jangan pula ada pemimpin Umno yang terus buta dan meneruskan tradisi
mengampu pemimpin mereka sehingga berkata rakyat tidak menghadapi apa
apa isu di Terengganu. Terengganu ketandusan isu kata mereka.
Bukalah mata kepada masalah tanah milik orang Melayu terutamanya di
kawasan bandar yang satu persatu diambil kerajaan. Ini belum lagi
tekanan tawaran harga yang menyebabkan ramai yang menjual kepada bukan
Melayu. - HARAKAHDAILY 19/7/2015
AHMAD AMZAD HASHIM
Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu
Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu
No comments:
Post a Comment