REMBAU – Siapa sangka, siapa menduga di sebalik semak dan laluan titi
kecil menghubungkan kawasan kampung dan belukar di Kampung Ampang Batu,
Chembong, di sini, rupa-rupanya 'syurga' berlindung seorang lelaki sejak
dua tahun lalu.
Namun 'syurga' itu hanya sebuah pondok bersaiz 8x24 kaki yang menjadi tempat tinggal Abdul Jamal Jan, 53, meskipun tiada bekalan elektrik serta air bersih.
Malah, Abdul Jamal yang merupakan bekas pengawal keselamatan selesa merahsiakan keadaan dan lokasi rumahnya itu daripada pengetahuan rakan-rakannya.
Tiga kali sambut Syawal di pondok kecil
Bagaimanapun Abdul Jamal berkata, segalanya terbongkar apabila rakan-rakan dari Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Rembau dan yang menetap di kampung bersebelahan mengunjungi pondok kecilnya sebelum Ramadan lalu.
“Saya hanya buat kerja-kerja kampung dan ada kalanya mengikut rakan-rakan GPMS melakukan khidmat sukarela. Kalau mahu menyertai persatuan belia, usia saya sudah tidak layak dan saya hanya mampu menyumbang melalui tenaga saya sahaja.
“Sudah tiga tahun saya menyambut Aidilfitri di sini. Pada sambutan tahun ketiga inilah ada tetamu yang datang menceriakan sambutan hari raya saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Ampang Batu, Chembong, di sini, semalam.
Jamal berkata, dia berasa segan terhadap rakan-rakan berkunjung ke pondok kecilnya yang bukan hanya menjadi tempatnya berlindung, bahkan mana-mana individu yang ingin berubat.
Terpaksa berhadapan fitnah, tohmahan
Menurutnya, pondok berkenaan telah didirikan sejak tahun 1992 berhampiran sisa rumah peninggalan kedua-dua ibu bapanya dan menjadi lokasi bagi penagih yang ingin membuang ketagihan atau yang mengidap sakit yang tidak boleh diubati melalui perubatan moden.
“Pada masa itu, tiga tahun juga saya menetap di pondok ini bagi membantu mengubati kes-kes seperti ini. Saya tidak pernah mengenakan bayaran kepada pesakit dan hanya menerima apa yang diberi sahaja.
“Tak sampai hati saya nak kenakan bayaran, sudahlah yang datang sakit, tergamak pula saya menetapkan bayaran buat mereka berubat dengan saya,” katanya yang baru menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) tahun ini.
Bagaimanapun menurutnya, ketika itu dia berhadapan dengan pelbagai
tohmahan serta fitnah seperti pondoknya menjadi lokasi aktiviti tidak
bermoral sehingga dia terpaksa membuat laporan polis bagi membolehkan
polis menjalankan siasatan di pondoknya itu.
“Saya jika boleh memang tidak mahu rakan-rakan tahu kehidupan saya di
pondok ini, bimbang juga akan jadi dosa kering bila orang tahu dan
membuat pelbagai andaian masih ada lagi orang tinggal di pondik kecil di
dalam semak.
Tak ada pendapatan tetap
Jamal berkata, dia bukan tidak mahu menyewa rumah, namun dia bimbang
tidak mampu membayar sewa bulanan kerana tidak mempunyai pendapatan
tetap dan hanya menjual hasil hutan selain menoreh getah.
“Sebelum ini, saya merantau dan bekerja sebagai pengawal keselamatan atau apa juga rezeki mengikut tempoh kontrak. Ada di Selangor, Seremban, Port Dickson dan akhirnya saya membuat keputusan untuk kembali menetap di kampung pada 2013.
“Kini saya menggunakan seekar dari enam ekar tanah peninggalan orang tua saya yang kini diwarisi adik perempuan saya,” katanya yang merupakan duda kepada dua anak lelaki berusia lingkungan 20-an.
Setahun kenal baru tahu tinggal rumah pondok
Bagi Yang Dipertua (YDP) GPMS Cawangan Rembau, Firdaus Razali, 32, berkata, sejak mengenali Jamal, dia tidak pernah mengetahui lelaki itu menetap di dalam pondok kerana tidak pernah diceritakan perihal tersebut walaupun mereka sering bertemu setiap kaki bertugas sebagai sukarela GPMS.
“Jadi, sebaik kami menjejakkan kaki ke sini, kami terkejut dan berulang kali bertanyakan sama ada benar ini merupakan tempat tinggalnya sejak tahun 2013,” katanya.
Firdaus berkata, lebih memeranjatkan lagi apabila mengetahui Jamal pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun lalu dan permohonan berkenaan tidak diluluskan kerana Jamal mempunyai rumah selain masih sihat.
“Saya harap kakitangan JKM dapat turun padang melihat sendiri kehidupan pemohon bagi mengetahui sama ada apa yang terpapar di dalam borang permohonan sama dengan kehidupan sebenar.
“Kami datang bagi menyalurkan bantuan Ziarah Sentuhan Kasih GPMS dan hanya mampu mengetengahkan isu ini di dalam laman sosial memandangkan kami juga tidak mempunyai dana untuk menyediakan tempat berlindung lebih baik.
Sudah tinjau pondok kecil Jamal
Sementara itu, Pegawai Daerah Rembau, Zaidi Johari berkata, pejabat daerah, unit pembangunan daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah meninjau pondok kecil berkenaan, kelmarin.
"Pejabat daerah akan membantu apa yang mampu dan setakat ini pihak kami telah menyalurkan bantuan wang tunai serta merta sebanyak RM200 dan Jamal bakal menerima bantuan bulanan JKM.
“Sekiranya Jamal ingin memohon rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Jamal perlu terlebih dahulu menyelesaikan urusan kebenaran waris tanah untuk mendirikan rumah PPRT," katanya.
No comments:
Post a Comment