Sunday, August 2, 2015

'Dia bagai hilang ingatan...'

'Dia bagai hilang ingatan...'
Wan Hapandi (tengah) bersama rombongan Pemuda Bersamamu ketika menziarahi Mazlan (kiri) dan Bauddin.
DUNGUN - Serangan penyakit yang datang secara tiba-tiba ketika sedang bekerja, mengubah hampir seluruh kehidupan seorang bekas mekanik, Bauddin Mat Hussin, 52.

Akibat penyakit dihidapinya, Bauddin yang dahulunya kuat bekerja dan sihat, kini tidak mampu bercakap dan bagaikan sudah hilang ingatan.
Kakak tirinya, Fatimah Mohammad, 58, berkata, penyakit misteri itu menyerang dua tahun lalu dan sejak itu, Bauddin tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Menurutnya, punca sebenar penyakit itu tidak dapat dipastikan kerana ada yang mengatakan ia merupakan sejenis penyakit saraf, selain ada yang mendakwa akibat terkena buatan orang.

“Masa tu dia tengah buat kerja di bengkel sebelah rumah, tiba-tiba penyakit itu menyerang menyebabkan dia tidak boleh bercakap dan buat apa-apa. Sejak itu dia bagai hilang ingatan... baju pun perlu disuruh, barulah dia pakai. Sekarang dia tak boleh buat kerja, apatah lagi menyara diri sendiri.

“Dia pernah dibawa ke hospital, tetapi tiba-tiba dia meronta. Sejak itu tiada rawatan atau pemeriksaan dilakukan kecuali perubatan tradisional. Sekarang dia hanya guna bahasa isyarat, tetapi tingkah lakunya perlu dipantau kerana dia kini tidak waras,” katanya.

Fatimah berkata demikian pada program Pemuda Bersamamu Siri 11, di sini. Hadir sama, Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik.
Menurut Fatimah lagi, Bauddin kini tinggal bersama abangnya, Mazlan Mat Hussin, 54, yang menghidap penyakit buah pinggang tahap kritikal dan memerlukan rawatan susulan.

Katanya, dia sedih melihat nasib menimpa Bauddin, ditambah pula keadaan Mazlan yang memerlukan perhatian.
“Saya baru dua bulan tinggal bersama mereka kerana sibuk dengan komitmen keluarga, tapi kakak ipar yang tinggal berhampiran selalu ambil berat mengenai mereka.

“Mazlan tidak mampu bekerja kerana penyakitnya semakin kronik.. hanya harapkan ihsan ahli keluarga terdekat dan jiran sekeliling. Saya harap dapat lihat mereka sihat dan menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, kata Mazlan, dia menghidap penyakit buah pinggang sejak tiga tahun lalu yang menyebabkan muka dan badannya sering membengkak.
“Saya berpisah dengan isteri setahun lalu dan ada empat anak.. dua daripadanya masih sekolah.

“Saya tak mampu kerja, jadi kami dua beradik hanya harapkan keprihatinan adik beradik lain yang sudi bantu. Saya perlu ke hospital tiga kali seminggu, kalau boleh.. tentu saya mahu sembuh,” katanya.

No comments:

Post a Comment