Saturday, August 1, 2015

Dua jam tahan sakit akibat tersepit

Dua jam tahan sakit akibat tersepit
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam treler di Bukit Simpul, awal pagi kelmarin.
KUALA BERANG - Seorang pemandu dan kelindan treler terpaksa menanggung kesakitan hampir dua jam akibat tersepit di tempat duduk selepas kenderaan yang mereka naiki, terbabas dan terbalik di Bukit Simpul, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian lebih kurang 1.40 pagi itu, kedua-dua mangsa, Mohd Saupi Mat Zin (pemandu), 27, dan Wan Mohamat Azmizal Wan Salleh, 39, (kelindan) yang beralamat di Pasir Puteh, Kelantan, dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang.

Difahamkan, treler yang membawa muatan bijih timah itu dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuantan, namun ketika menuruni Bukit Simpul, kenderaan dipandu Mohd Saupi itu dipercayai terbabas lalu terbalik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zamri Omar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.51 pagi dan bergegas ke lokasi dengan kekuatan tujuh anggota diketuai PBK II, Zuraidi Mohd Yusof yang menaiki sebuah jentera.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, dua lelaki (pemandu dan kelindan) didapati tersepit di tempat duduk masing-masing. Kenderaan itu terbalik di kaki lima jalan, namun tidak mengganggu laluan.

“Operasi menyelamat sedikit sukar kerana keadaan begitu gelap. Kita mengeluarkan mangsa pertama (kelindan) lebih kurang jam 3.30 pagi, disusuli mangsa kedua (pemandu) 10 minit kemudian.

“Selain menggunakan peralatan pemotong hidraulik dan rem hidraulik, pihak bomba turut meminta bantuan sebuah lori lain untuk menarik lori dinaiki mangsa yang terbalik. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.18 pagi,” katanya.
Menurut Mohd Zamri lagi, kejadian itu melibatkan lorong kecemasan berpasir yang disediakan untuk membantu pengguna jalan raya terutama kenderaan berat, sekiranya mengalami masalah sewaktu menuruni bukit.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohammad Azmi Awang Lah berkata, kedua-dua mangsa dihantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, kata Mohammad Azmi, pihaknya setakat ini tidak menerima laporan berhubung kemalangan tersebut.

No comments:

Post a Comment