Saturday, August 1, 2015

Muhyiddin berhak hadir mesyuarat Umno

Muhyiddin berhak hadir mesyuarat Umno
Ahmad Razif menyampaikan sumbangan kepada warga emas semasa hadir merasmikan program Anak Muda ‘Geng Sejid’ di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu, di sini, semalam.
KUALA TERENGGANU - Umno Terengganu tiada halangan berhubung kehadiran bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian yang berlangsung di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Muhyiddin berhak hadir merasmikan mana-mana mesyuarat perwakilan Umno Bahagian termasuk di Terengganu kerana beliau masih memegang jawatan Timbalan Presiden Umno.

“Perhimpunan agung ini adalah persidangan parti, jadi atas kapasiti Timbalan Presiden memang beliau ada autoriti. Pihak kita tiada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media apabila  ditanya berhubung Mesyuarat Agung Umno Bahagian yang dijadualkan dihadiri Muhyiddin, semasa hadir merasmikan program Anak Muda ‘Geng Sejid’ di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Hadir sama, Speaker Dun, Datuk Mohd Zuber Embong dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib.
 
Sebelum ini, mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu dan juga Kemaman yang akan berlangsung pada 14 Ogos ini masing-masing di Dewan CIDB, Hulu Terengganu dan Dewan Amar, Chukai, Kemaman dijangka dihadiri Muhyiddin.
 
Namun beliau difahamkan, jemputan Muhyidin ke Hulu Terengganu telah dibatalkan sebaliknya digantikan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden Umno.
 
“Cuma saya difahamkan di Kemaman, setakat ini masih meneruskan (seperti mana jadual). Jadi saya sebagai Pengerusi Umno Negeri, memang kita tiada halangan mana-mana bahagian untuk meneruskan perkara ini,” katanya.  
 
Muhyiddin digugurkan daripada Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diumumkan dalam satu sidang media mengejut pada 28 Julai lalu.
 
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu menggantikan tempat beliau.

No comments:

Post a Comment