Friday, August 28, 2015

Sultan Johor hero rakyat, bukan saya – Zam

 | August 28, 2015
Beliau menjawab kritikan pembantu peribadi isteri Perdana Menteri yang menganggap Zam cuba menjadi hero kepada Sultan Johor.
Zainuddin-Maidin_sultan-johor_600
PETALING JAYA: Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menegaskan sokongannya terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar bukan untuk menjadi hero.

Sebaliknya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim adalah hero sebenar kepada rakyat kerana baginda prihatin dan bertanggungjawab serta berani mengingatkan pemimpin supaya tidak memperbodohkan rakyat.
Katanya, rakyat Johor dan Malaysia sewajarnya berbangga mempunyai seorang raja berjiwa rakyat.

“Baginda telah bercakap bagi pihak rakyat dan rakyat yang berada dalam keadaan amat tertekan amat menilainya. Dengan tindakan itu juga baginda menyedarkan rakyat bahawa raja sebagai simbol kedaulatan rakyat tidak hanya retorik semata-mata,” katanya.

Zainuddin atau Zam membuat kenyataan itu bagi membalas kritikan pembantu peribadi isteri Perdana Menteri,  Datuk Rizal Mansor yang menuduh beliau cuba menjadi hero.

“Janganlah Pembantu peribadi kepada Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor memikirkan saya hendak menjadi hero kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim kerana hendak mendapat gelaran dan sebagainya kerana saya sudah cukup dengan segala gelaran yang tidak terpakai oleh saya.
“Saya tidak boleh menghadiahkan satu pun darinya kepada Rizal kerana itu adalah amanah dari Sultan-Sultan, Gabenor dan juga Seri Paduka-Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong kepada saya.

“Saya menjalankan tugas saya sebagai wartawan dengan kesedaran berada di bawah naungan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan saya serta seluruh rakyat yang sedang berada dalam keadaan duka nistapa sekarang tidak ada lagi tempat untuk mengadu dan menaruh harapan kecuali kepada Majlis Raja-Raja yang amat dihormati dan disanjung tinggi,” katanya.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu menerusi blognya berkata, sokongannya terhadap baginda itu adalah pandangan yang ikhlas.
“Saya tidak tahu kiranya ingatan ini ada pada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sehingga pembantu Rosmah merasa sensitif untuk memberikan reaksi kepada pandangan saya yang ikhlas itu,” katanya.

Zam berkata, pandangan-pandangan beliau itu disertakan dengan contoh terbaik tradisi di Great Britain yang mengamalkan hak demorasi yang luas.
“Ini kerana mereka berpegang kepada kepercayaan dengan adanya Queen maka Perdana Menteri tidak merasakan bahawa dia mempunyai kuasa mutlak, walaupun berkuasa dari segi perlembagaan, sebaliknya selalu ingat ada kuasa yang lebih tinggi daripadanya, walaupun kuasa itu bersifat Raja Berperlembagaan,” kata Zam.
FMT

No comments:

Post a Comment