Mohamed Khaled (tiga, kiri) melawat Pasar Borneo yang diubah suai berbumbung, semalam.
PASIR GUDANG - Umno Johor tidak pernah membuat keputusan menghantar
peserta ke Himpunan Baju Merah yang diadakan di Kuala Lumpur 16
September lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kes video
seorang wanita didakwa berbaur rasis hanya perkara terpencil dan menolak
wanita berkenaan ahli Umno Pasir Gudang.
Menurutnya, semua peserta dari Johor yang menyertai himpunan itu hadir atas tiket peribadi tanpa melibatkan Umno.
“Mereka pergi ke himpunan itu atas tiket peribadi, tapi saya tak tahu
sama ada betul atau tidak wanita itu dari Pasir Gudang kerana saya
mempunyai 20,000 ahli Umno di sini.
“Bagaimanapun ia tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan kita yang telah
hidup harmoni bersama masyarakat berbilang kaum,” katanya selepas
merasmikan Pasar Borneo yang bernilai RM352,000 di Taman Megah Ria,
semalam.
Mohamed Khaled berkata, realiti yang berlaku pada PRU13 mendapati
kecenderungan pengundi mengundi hanya pada satu kaum, dan bukannya
penilaian kepada prestasi ditunjukkan pemimpin.
Menurutnya, kesannya cukup besar dan tidak bagus kepada negara yang mempunyai masyarakat majmuk kerana membawa ke arah rasis.
“Kita lihat apa yang berlaku pada PRU13 apabila pengundi Cina hanya
mengundi orang Cina dan inilah kesannya, sebab itu untuk negeri ini
adalah wajar semua masyarakat bekerjasama dan mengundi berasaskan asas
yang tidak cenderung kepada satu kaum.
“Kita perlukan rakyat bersikap sederhana, rasional dan tentukan
kerajaan yang nak diwujudkan adalah kerajaan berkesan dan kerajaan yang
mampu membawa pembangunan serta kemajuan pada rakyat, bukannya kerajaan
yang membawa sentimen sempit,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai Belanjawan Johor 2016, Mohamed Khaled
berkata, ia akan dibentangkan November depan yang memfokuskan kepada
transformasi masyarakat luar bandar, pembangunan inklusif dan membawa
kesejahteraan kepada rakyat memerlukan.
Menurutnya, kerajaan negeri akan memberi penekanan kepada kemahiran
masyarakat melalui pendekatan pengupayaan masyarakat supaya keperluan
ekonomi yang berlaku dalam keadaan mereka lebih bersedia.
“Masyarakat Johor mesti ada ilmu dan kemahiran kerana tak ada jaminan hanya mengharapkan semata-mata kepada keistimewaan.
“Kita nak masyarakat Johor mengupayakan diri kerana kemakmuran dan
pertumbuhan ekonomi yang berlaku untuk rakyat dalam keadaan mereka sudah
bersedia,” katanya.
Sinar
Sinar
No comments:
Post a Comment