Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi keperluan yang dilakukan apabila keadaan mendesak.
PETALING JAYA: Islam menentang ‘asabiyyah’ atau sikap berpuak-puak
namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum
sendiri jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada
pemusuhan antara puak dan kaum.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Islam juga
melarang sikap ‘asabiyah’ yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak
diketahui sama ada benar atau batil (salah), namun membela atas dasar
ketaksuban.
“Jika ada ciri itu maka ia ‘asabiyyah’ yang dilarang sama ada
perjuangan parti atau perjuangan kaum. Bukan sahaja perjuangan politik
bangsa boleh menjadi ‘asabiyyah’, perjuangan atas nama Islam jika
fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh
dinamakan ‘asabiyyah’,” katanya.
Beliau memberi penerangan itu di status Facebooknya bagi menjawab
pertanyaan pandangan Islam mengenai perjuangan memartabatkan bangsa.
Penerangan itu dipercayai ada kaitan dengan kenyataan Tan Sri Annuar
Musa pada Himpunan Baju Merah yang dilaporkan berkata, perkauman itu
dituntut dalam Islam bagi mempertahankan hak tanpa menzalimi kaum lain.
Mohd Asri berkata, usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi keperluan yang dilakukan apabila keadaan mendesak.
“Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang
susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang
kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa,” katanya.
Beliau berkata, perjuangan bangsa jika bertentangan dengan
prinsip-prinsip Islam adalah diharamkan tetapi Islam mengizinkan malah
perbuatan terpuji jika memartabatkan bangsa yang tidak bertentangan
dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam,
keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain.
Mohd Asri mengingatkan bahawa Allah menciptakan manusia dari
berbilang bangsa dan puak untuk saling mengenali kerana setiap manusia
itu bersaudara walaupun berbeza warna kulit, agama dan bangsa.
“Jika kita berpegang kepada asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan
jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan
kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain,”
katanya.
No comments:
Post a Comment