01/09/15
Para pengkaji di Tapak Arkeologi Sungai Batu, yang diiktiraf
sebagai tapak tamadun manusia tertua di Asia Tenggara, telah menemui
beberapa tinggalan kapal purba di sungai kuno yang pernah mengalir di
kawasan bersejarah "Kedah Tua" itu ribuan tahun dahulu.
Penemuan
tinggalan kapal-kapal purba di tapak arkeologi itu didedahkan Exco
Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya
negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid kepada Bernama baru-baru ini.
"Ada
di dalam sungai kuno itu lima atau tujuh kapal atau tongkang lama.
Tiang layar (kapal-kapal purba) itu pun sudah nampak. Kapal-kapal atau
tongkang purba itu adalah 40 hingga 50 kaki panjangnya.
"Selama
ini pengkaji-pengkaji mencari di kawasan bakau di pesisir pantai, tetapi
apabila menggunakan teknologi satelit, (pengkaji) mengetahui di mana
kedudukan asal sungai kuno itu," katanya dalam temu ramah di pejabatnya.
Mohd
Rawi berkata, pengkaji-pengkaji di tapak arkeologi terbabit menemui
tinggalan kapal-kapal purba itu kira-kira setahun yang lalu tetapi tidak
membuat sebarang pengumuman tentang penemuan itu sehingga kini.
Tapak
arkeologi Sungai Batu terletak di ladang kelapa sawit berhampiran
Sungai Petani, di mana para pengkaji sejak 2009 telah menemui pelbagai
monumen yang disahkan berusia seawal 1,900 tahun (110 Masehi).
Usianya
telah disahkan lebih tua berbanding candi-candi di Borobudur, Indonesia
dan Angkor Wat, Kemboja, yang masing-masing dibina pada abad ke-9 dan
abad ke-12.
Tinggalan-tinggalan kapal purba itu menurut Mohd Rawi,
dikesan tertanam di dalam sebuah kawasan berpaya dan berselut di tapak
arkeologi itu, yang ribuan tahun dahulu merupakan sebuah sungai kuno
yang dalam dan luas.
"Pengkaji menyelam dan mereka melihat adanya
struktur seperti sebuah kapal," katanya dan menambah Tamadun Sungai Batu
merupakan penemuan yang amat penting bukan sahaja kepada Kedah, tetapi
juga Malaysia keseluruhannya.
Ditanya sama ada kerajaan negeri
mahu melihat usaha menaikkan tinggalan kapal-kapal purba dimulakan,
beliau berkata, perbincangan perlu diadakan kerana kos untuk
menaikkannya dijangkakan amat tinggi.
Kerajaan negeri dan kerajaan
pusat serta pelbagai agensi lain seperti Jabatan Warisan, Universiti
Sains Malaysia (USM) yang melakukan kajian di tapak arkeologi Sungai
Batu itu perlu duduk bersama dan berbincang, katanya.
Sementara
itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM Prof Datuk Dr
Mokhtar Saidin ketika dihubungi Bernama turut mengesahkan penemuan
struktur-struktur yang dipercayai bangkai kapal-kapal purba itu.
"Kita
menemui struktur-struktur itu yang dipercayai kapal purba itu ketika
melakukan analisis Geofizik (di tapak arkeologi Sungai Batu).
Bagaimanapun kita perlu melakukan lebih banyak analisis dan kajian
sebelum dapat mencapai keputusan akhir," katanya.
Ditanya tentang
usia struktur itu jika ia disahkan adalah kapal-kapal purba, beliau
berkata, ia berkemungkinan memiliki usia yang sama seperti Tamadun
Sungai Batu itu sendiri.
Beberapa pengkaji yang ditemui oleh
Bernama di tapak arkeologi Sungai Batu itu turut mengakui tentang
penemuan tinggalan kapal purba itu, yang boleh disifatkan sebagai antara
penemuan paling penting setakat ini.
Sejak menjalankan kajian di
Sungai Batu itu, pasukan arkeologi USM telah membuat beberapa penemuan
penting seperti relau melebur besi, jeti-jeti pelabuhan dan bangunan
pentadbiran.
Bagaimanapun, penemuan terpenting adalah monumen
bulatan disahkan telah dibina pada tahun 110 Masihi iaitu 1,900 tahun
dahulu menggunakan teknik "Optically Stimulated Luminescence" (OSL),
berkemungkinan berfungsi untuk tujuan ibadat bagi penganutnya yang
mengamalkan kepercayaan Animisme.
- Bernama
No comments:
Post a Comment