Dia malu selepas rakaman 'drama cium kaki' tersebar dan bertindak membuat laporan polis.
PETALING JAYA : Seorang pelajar perempuan berumur 15 tahun di
Terengganu tampil mendedahkan kisah sebenar di sebalik rakaman video
‘cium kaki’ seorang perempuan sebagai tanda meminta maaf yang telah
menjadi viral.
Pelajar yang hanya mahu dikenali Mia itu mendakwa, dia dipaksa melakukan perkara itu oleh ibu kepada perempuan berkenaan.
Menceritakan punca kejadian itu, Mia mengakui berlaku perselisihan faham antara dia dengan perempuan itu.
“Memang selama ini hubungan saya dan dia (pelajar yang memaksa
mencium kaki) tidak baik dan saya akui ada buat kesilapan padanya.
Tetapi saya dah minta maaf,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Mia yang baru kehilangan bapanya pada bulan lalu menceritakan, dia
dan perempuan itu pernah berjumpa pada 8 September untuk menyelesaikan
masalah antara mereka tetapi dia mendakwa dipukul dan cuba ditanggalkan
pakaian oleh perempuan berkenaan.
Mia berkata, dia mengalami trauma selepas kejadian itu.
Katanya, dia telah didesak bertemu di kedai makan milik keluarga
perempuan itu di Teluk Ketapang untuk menyelesaikan masalah antara
mereka pada 9 September.
“Awalnya pertemuan berlangsung baik sehinggalah ibu pelajar itu
memaksa saya mencium kaki anaknya jika ingin memohon maaf,” cerita Mia.
Katanya, walaupun sedih tetapi dia terpaksa melakukan perbuatan itu
(cium kaki) kerana tiada pilihan selepas dikepung rakan-rakan perempuan
itu.
Salah seorang saksi kejadian dipercayai telah merakam kejadian itu yang kemudian tersebar di media sosial.
Malu dengan rakaman video itu, Mia bersama ibunya telah membuat
laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi
membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang merakam dan menyebarkan
video itu.
Ketua Polis Daerah Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar mengesahkan menerima laporan itu.

No comments:
Post a Comment