Mereka mendakwa Kementerian Kesihatan dan doktor panel gagal memberi perkhidmatan kesihatan yang diperlukan Anwar Ibrahim.
PUTRAJAYA : Gabungan 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan empat
parti pembangkang mendesak Kementerian Kesihatan memenuhi permintaan
keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Ketua Umum PKR itu menerima
rawatan di luar negara.
Ketua Pemuda DAPSY, Teo Kok Seong berkata, desakan itu kerana
Kementerian Kesihatan dan Ketua Panel Pakar Perubatan, Datuk Dr
Jeyaindran Sinnadurai gagal mengambil berat mengenai ‘Hipocratic Oath’
dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik.
“(Mereka) tidak memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi kepada pesakit.
“Anwar kini diasak dengan pengurusan rawatan kesihatan yang teruk
serta mengalami penyusutan berat badan, tekanan darah tidak menentu,
gastrik, artritis dan otot bahu terkoyak,” katanya.
Dia berkata demikian sebelum menyerahkan Memorandum Hak Perubatan
Rawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada wakil Menteri Kesihatan pada
Rabu.
Ahli Parlimen Rasah itu berkata, doktor panel yang merawat Anwar turut melengahkan-lengahkan rawatan.
Katanya, Anwar juga sewajarnya diberikan pilihan untuk memilih
pakar-pakar untuk memeriksanya yang melibatkan pembedahan mikro atau
penggantian bahu.
Katanya, Anwar wajar diberi rawatan di luar negara kerana Penjara
Sungai Buloh kekurangan fasiliti dan kemudahan rawatan perubatan.

No comments:
Post a Comment