03/09/15
Satu mesej yang dikesan tersebar luas sejak semalam mendakwa
mesyuarat majlis tertinggi Umno pada 9 September ini akan memutuskan
pemecatan tujuh orang pemimpinnya.
Antara nama yang disebut dalam
sebaran tersebut termasuk timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan
MB Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.
Mengulas perkara itu, Mukhriz
Mahathir ketika ditemui pemberita hari ini berkata beliau tidak menerima
apa-apa notis berhubung perkara itu.
Mukhriz berkata beliau tidak menganggapnya sebagai maklumat yang sah melainkan jika ia diterima dari Umno pusat.
"Senarai ini macam-macam... tetapi selagi benda itu tak jadi kenyataan, saya tidak boleh bagi respon.
"Saya
sendiri ada tengok macam-macam dihantar melalui WhatsApp dan
sebagainya, tetapi setakat ini belum ada apa-apa kenyataan daripada
mana-mana pihak khususnya pimpinan Umno pusat.
"Jadi saya tak boleh nak terima lagi komen kononnya maklumat dan berita itu telah disahkan," katanya kepada pemberita di Kedah.
Sementara
itu, naib presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata dakwaan
tersebut hanyalah satu khabar angin yang tidak berasas.
Katana beliau sendiri tidak tahu menahu jika mesyuarat tersebut sememangnya akan membincangkan perkara itu.
"Jika
ada pihak tertentu yang mahu terus percaya khabar angin berkenaan,
terpulanglah tapi saya sendiri pun masih tidak tahu apa agenda mesyuarat
itu nanti," katanya seperti dipetik dalam laporan Berita Harian Online.
Turut
disebut dalam sebaran di Whatsapp itu ialah naib presiden Datuk Seri
Mohd Shafie Apdal dan MP Kulim Bandar Baru MP Datuk Abdul Aziz Sheikh
Fadzir.
Tiga lagi nama ialah bekas MB Terengganu Datuk Ahmad Said,
bekas exco Perak Datuk Hamidah Osman dan MP Sepanggar Datuk Jumat
Idris.
Muhyiddin dan Shafie digugurkan daripada barisan jemaah
menteri pada bulan lalu ekoran kritikan mereka ke atas perdana menteri
dan juga isu 1MDB.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment