Polis menetapkan penganjur harus bertanggungjawab
sepenuhnya terhadap tindak tanduk peserta ketika Himpunan Rakyat Bersatu
diadakan.
KUALA LUMPUR: Penganjur Himpunan Rakyat Bersatu, Persekutuan Silat
Kebangsaan Malaysia (PESAKA) enggan mematuhi syarat polis yang
menetapkan penganjur bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perbuatan dan
kelakuan peserta perhimpunan itu.
Presiden PESAKA, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam sebaliknya berkata,
peserta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perbuatan mereka pada hari
berkenaan bukannya penganjur.
“Sesiapa yang melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 tanggung jawab
sendiri,” katanya dalam sidang media di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin
(KLMO) pada Isnin.
Salah satu syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak polis adalah
penganjur harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindak tanduk
peserta pada 16 September ini.
Selain itu, tidak dibenarkan membawa dan mengedar apa-apa risalah,
membawa sepanduk yang boleh menyentuh isu-isu sensitif dan tidak
mengganggu lalu lintas.
Polis juga tidak membenarkan peserta membuat bising yang boleh mengganggu ketenteraman penduduk atau kawasan sekitar.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Ali berkata, tempat berarak untuk
peserta Himpunan Rakyat Bersatu tidak tertumpu di Plaza Low Yat sahaja
sebaliknya melibatkan banyak kawasan penting.
“Ahli-ahli yang datang ramai, kita datang dari seluruh negara, kalau
ada yang berarak, berarak lah. Kita juga ada tiga ribu ahli silat untuk
membantu keselamatan,” katanya.
FMT

No comments:
Post a Comment