Saturday, September 5, 2015

Saya bukan penjenayah, kata Azmin


Saya bukan penjenayah, kata Azmin
Mohamed Azmin (dua, kanan) ketika merasmikan kediaman imam Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, semalam
AMPANG - “Saya dan Dr Mahathir bukan penjenayah. Lebih baik polis tumpu perhatian terhadap isu jenayah yang makin meningkat,” kata Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang akan membuat siasatan ke atas beliau dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kehadiran mereka ke perhimpunan Bersih 4.0, baru-baru ini.

Mohamed Azmin berkata, beliau bagaimanapun bersedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil nanti, berdasarkan peruntukan undang-undang.

“Setakat ini belum ada (dipanggil). Tetapi kita akan ikut undang-undang. Tidak perlu memberi jawapan pun.

“Saya fikir lebih baik polis tumpu masalah jenayah yang semakin meningkat dan tidak harus polis menekan rakyat dalam keadaan kita melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat patriotik yang mahu negara kita diselamatkan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Khalid mengeluarkan kenyataan akan memanggil beberapa pemimpin parti termasuk Dr Mahathir dan Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor kerana terlibat dalam perhimpunan haram yang berlangsung di ibu negara pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Terdahulu, Mohamed Azmin menyampaikan cek sumbangan bernilai RM100,000 kepada Masjid Al-Ansar Taman Keramat, di sini, bagi kerja-kerja penambahbaikan kemudahan di situ.

Beliau turut melawat dan merasmikan projek kediaman imam masjid berkenaan yang siap hasil sumbangan peruntukan yang diberikan sebelum ini.

No comments:

Post a Comment