Mahanun
dengan diiringi Sheikh Ahmad Dusuki menyerahkan wang sumbangan ikhlas
dari guru-guru dan kakitangan SK Kebakat kepada Mohd Alif.
TUMPAT - Sekolah Kebangsaan (SK) Kebakat melancarkan derma kilat bagi
membantu muridnya, Mohd Alif Ikwan Mat Nawi, 9, yang mengalami masalah
tapak kaki lembik kesan penyakit Spina Bifida.
Guru Besar SK Kebakat, Mahanun Mahmood berkata, derma kilat itu
dilancarkan bagi membantu Mohd Alif mendapatkan kasut khas yang bernilai
RM11,000.
"Hasil derma kilat yang dilancarkan, kita berjaya kumpul RM700 dari
sumbangan ikhlas guru-guru dan kakitangan sekolah ini," katanya ketika
menziarahi ayah Mohd Alif, Mat Nawi Mat Hassan, 53, yang lumpuh sebelah
badan akibat penyakit strok di Kampung Bunut Sarang Burung, di sini.
Hadir sama, rombongan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) diketuai presidennya, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad.
Sementara itu, Sheikh Ahmad Dusuki memberitahu, kasut khas untuk Mohd Alif sudah ditempah dan akan siap dalam masa terdekat.
"Ada harapan untuk Mohd Alif berjalan secara normal jika pakai kasut
khas itu tetapi jika dibiarkan dia berjalan menyerek kaki, kemungkinan
dia akan lumpuh seumur hidup.
"POKB berusaha membantu keluarga ini mendapat kasut khas itu. Bukan
Mohd Alif sahaja perlu diberi perhatian, malah keluarga ini perlu
dibantu setelah hilang punca pendapatan apabila ketua keluarga mereka
lumpuh," katanya.
Bagi mereka yang prihatin dan ingin membantu keluarga ini, sumbangan
boleh disalurkan ke Tabung Kesejahteraan Orang Kota Bharu melalui akaun
Maybank bernombor 5627 1340 1573.
No comments:
Post a Comment