Usul itu kemungkinan tidak sempat dibentang kerana diletak dalam susunan ke-25 daripada 28 usul keseluruhan.
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengemukakan notis
kepada Parlimen untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap Datuk
Seri Najib Tun Razak.
Notis itu dicadangkan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.
Usul itu bagaimanapun mungkin tidak sempat dibentangkan pada sidang
Parlimen yang akan bermula Isnin ini kerana diletak dalam susunan ke-25
daripada 28 usul keseluruhan.
Sidang Parlimen yang terakhir tahun ini akan menyaksikan pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri.
Dalam notis itu, Loy Sian mencadangkan;
“Bahawa Dewan ini mengemukakan Undi Tidak Percaya terhadap Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas alasan penerimaan “Wang Derma”
berjumlah RM2.6 billion yang pada mulanya dinafikan, kemudiannya
mengugut untuk menyaman akhbar Wall Street Journal dan akhirnya mengakui
wang tersebut diperolehi daripada individu yang berasal dari Timur
Tengah.
“Dengan tidak menjelaskan mengapa “Wang Derma” ini dimasukkan ke
akaun peribadi dan bukan atas nama parti, Dewan juga tidak berpuas hati
ke atas siasatan skandal 1MDB yang berlaku di mana “Special Task Force”
yang sepatutnya menyiasat skandal ini dibubarkan tanpa memberi sebarang
alasan sehingga Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan
perkhidmatan, pegawai SPRM dipindahkan, pihak polis mengganggu siasatan
SPRM dan Bank Negara, Public Account Committee (PAC) yang sedang
menjalankan siasatan terhadap kes 1MDB tidak berfungsi akibat daripada
empat anggota PAC yang terbabit telah dilantik menjadi Menteri atau
Timbalan Menteri oleh Perdana Menteri, Pengarah Cawangan Khas (SB)
diberhentikan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas dipindahkan ke Jabatan
Perdana Menteri tanpa diberi tugasan.
“Disebabkan masalah yang dinyatakan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak telah menjejaskan imej Negara di dunia dan menyebabkan
pelabur tidak yakin terhadap Kerajaan sekarang sehingga ekonomi menjadi
tidak stabil, serta pasaran saham menjunam teruk dan kejatuhan nilai
wang ringgit Malaysia berbanding dengan dolar Amerika Syarikat. Maka
rakyat Malaysia tidak lagi percaya terhadap Perdana Menteri dan dengan
ini Dewan hendaklah mengambil ketetapan untuk mengemukakan Undi Tidak
Percaya terhadap Perdana Menteri.”

No comments:
Post a Comment