Friday, November 27, 2015

Nampak tikus atas pinggan di restoran

Nampak tikus atas pinggan di restoran
Kelihatan seekor tikus pada pinggan yang berjaya dirakamkan Mahfuz.
SEREMBAN - Menjijikkan! Itulah yang dapat digambarkan oleh seorang anggota polis ketika melihat tikus di atas pinggan yang digunakan untuk menyenduk nasi di sebuah restoran di Senawang, di sini.

Mahfuz Md Saleh, 46, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika dia baru beberapa minit duduk di restoran terbabit menikmati segelas teh tarik.
“Tengah saya duduk sambil pandang keadaan sekitar, saya nampak di meja sebelah ada tikus makan sisa nasi dalam pinggan yang digunakan sebagai senduk nasi.
“Saya pun cepat-cepat ambil gambar untuk dijadikan bukti dan tak sangka pula ada pelanggan lain nampak dan maklumkan pada pekerja di situ,” katanya.

Mahfuz berkata, dia mengambil tindakan memuat naik gambar tersebut ke dalam Facebook memandangkan restoran itu antara kedai makan yang menjadi tumpuan ramai.
Menurutnya, bukan untuk menganiaya pemilik restoran berkenaan, sebaliknya pengusaha restoran itu sepatutnya bersikap lebih prihatin tentang soal kebersihan dan bukannya memikirkan keuntungan semata-mata.
“Kawan-kawan saya ramai yang suka makan di restoran itu, jadi saya rasa bertanggungjawab untuk hebahkan kepada semua.

“Saya sendiri bila nampak macam itu, memang selepas ini tidak akan pergi makan dekat situ lagi. Ini soal makanan dan keadaan seperti itu boleh mengundang penyakit,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan supaya restoran berkenaan ditutup selama dua minggu serta turut dikenakan kompaun.

Menurutnya, kesalahan itu bukan kali pertama dilakukan kerana sebelum ini pernah diarah tutup pada 18 November lalu dan baru sahaja dibenarkan beroperasi semula.

“Restoran ini mula beroperasi semula Sabtu lalu dan pengusaha juga telah berjanji melantik syarikat kawalan serangga untuk tujuan kawalan keadaan premis.
“Tapi nampaknya ia tidak berkesan dan lawatan susulan dilakukan semalam bersama Majlis Perbandaran Seremban (MPS) mendapati tiada kesinambungan untuk pengusaha premis menjaga kebersihan,” katanya.
Abdul Rahim berkata, pemeriksaan dilakukan mendapati memang ada tikus berkeliaran di dalam longkang di premis berkenaan dan arahan memasang perangkap tikus dan meletakkan racun tikus telah dikeluarkan.

No comments:

Post a Comment